Bersatu tak tanding PRN Sarawak, hormati rakan GPS: Muhyiddin

November 27, 2021 · Politik

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan bulan depan, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat sebagai menghormati pandangan gabungan Parti Sarawak (GPS) yang pernah menjadi parti rakan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran beliau sebelum ini.

“Keputusan itu dibuat, selepas sesi perbincangan bersama Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

“Bersatu tidak akan bertanding di Sarawak kerana itu hasrat kepada pimpinan parti GPS, walaupun kita ada tempat tertentu yang kita percaya kita boleh menang, langkah ini supaya parti yang sudah ada di Sarawak menang dengan cemerlang.

“Jadi untuk menghormati pandangan pimpinan itu yang pasti saya yakin GPS mempunyai kekuatan dan GPS adalah parti rakan dalam kerajaan yang ada sewaktu saya berkhidmat… jadi kita menghormati pandangan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh Kali Ketiga di Lenga, di Muar.

Bagaimanapun Pengerusi PN itu berkata Abang Johari memberi bayangan bahawa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau menyatakan mungkin akan memberi pertimbangan kepada mana-mana parti lain untuk menyertai bersama GPS termasuk PN.

“Paling penting dalam perbincangan itu (bersama Abang Johari), pandangan daripada pihak GPS ialah supaya kerusi yang sedia ada itu dikekalkan,” katanya.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember, pengundian awal (14 Disember) dan pengundian biasa (18 Disember), dengan kempen selama 12 hari.

Terdapat seramai 1,252,014 pengundi biasa berdasarkan daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 2 November 2021, dan 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 orang anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Muhyiddin berkata pengganti baharu bagi jawatan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata tindakan Mohd Rafiq disifatkan sebagai satu langkah terhormat, sekali gus membolehkan rombakan Badan Pimpinan Negeri (BPN) dapat dibuat susulan pasca PRN Melaka.

“Terbukti benar beliau meletakkan jawatan berundur dan ini satu langkah terhormat, iaitu memberi laluan supaya kita dapat buat rombakan BPN. Saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti ataupun rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Semalam, Mohd Rafiq mengumumkan keputusannya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka, supaya mempunyai masa mencukupi bagi membuat persiapan menghadapi PRU15.

Ketika ditanya mengenai saranan UMNO supaya PRU15 disegerakan, Muhyiddin berkata beliau telahpun memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya perbincangan diadakan bagi menentukan masa yang bersesuaian.

“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri supaya ada perbincangan dibuat untuk menentukan masa yang sesuai, mungkin di peringkat Perdana Menteri mengikut perlembagaan ia akan membawa kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tapi saya pasti ia akan mengambil pertimbangan, situasi dan keadaan serta kerjasama antara parti politik yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU), dalam menstabilkan situasi politik,” kata Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pagoh.

Pada 21 November lalu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga ADUN Rantau, dilaporkan berkata PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat.

Berita berkaitan
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024· Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024· Politik
Ideologi yang berbeza,hala tuju yang tidak jelas Kerajaan Perpaduan
January 1, 2024· Rencana
Atas permintaan akar umbi dan MPT, Muhyiddin akan tawar diri kekal sepenggal lagi
November 25, 2023· Politik
Popular
Anak Bung Moktar dilantik bendahari Pemuda UMNO
March 24, 2023
Kes Covid-19 tinggi tapi blok pembangkang masih desak buka Parlimen
May 27, 2021
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024
Bersatu tangguh pemilihan bahagian, MPT kecuali cawangan
May 13, 2023
Lagi Politik terkini
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024 · Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024 · Politik
DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme
April 1, 2024 · Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024 · Politik
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok