
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan mengkaji pengeluaran KWSP secara bersasar jika Perikatan Nasional menang PRU-15 pada 19 November ini..
Bersatu telah membuat ketetapan muktamad tidak akan mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, Gerakan, SAPP dan STAR sebagai gabungan politik pelbagai kaum.
Pengerusi PN itu berkata ia selaras dengan hasrat menawarkan kepimpinan yang bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat.
“Berhubung laporan media mengenai kerjasama Bersatu dan PH, Bersatu telah membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (15 Oktober 2022).
Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, Muhyiddin berkata Bersatu bersedia menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU-15 melibatkan PN, Barisan Nasional (BN), PH dan parti politik lain yang akan bertanding.
Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Tanah Air Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan ada kerjasama dengan Bersatu dan PH.
Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga sebelum ini dilaporkan berkata gabungan itu bersedia untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU-15.