
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan semasa sidang media di luar Istana Negara pada 10 Ogos 2022. Gambar kredit Hiekal Rosli
Susulan pendedahan skandal kapal tidak siap pada minggu lepas, Bersatu hari ini mengambil langkah menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi meminta perkenan untuk membuka satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu tersebut.
Memorandum daripada Bersatu membabitkan projek kapal tempur pesisir (LCS) itu dihantar Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan di Istana Negara petang tadi supaya satu siasatan dijalankan berhubung skandal tersebut.
Wan Saiful menyifatkan ia satu lagi skandal terbesar yang menyebabkan duit rakyat hangus begitu sahaja tanpa ada satu kapal siap lagi, malah beliau memberitahu Menteri dari Bersatu akan menyokong usaha tersebut.
“Kes ini adalah kes besar yang telah mengambil sejumlah besar dana rakyat.
“Kami juga akan mencadangkan menteri dari Bersatu menyokong idea daripada parti lain untuk memulakan RCI mengenai perkara ini,” katanya.
Setiausaha Sulit Kanan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim menerima memorandum tersebut petang tadi.
Menurut Wan Saiful lagi, skandal LCS adalah tidak bermoral kerana ia didalangi oleh pihak eksekutif yang mempunyai pengaruh tinggi.
“Ini kerana jika kita minta eksekutif kita sekarang menyiasat perkara ini, adalah tidak bermoral kerana kebanyakan nama dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) (mengenai LCS) adalah orang yang mempunyai pengaruh tinggi dalam eksekutif.
“Kita bimbang jika kita menyerahkan perkara ini kepada eksekutif, beberapa kuasa lain akan terlibat dan siasatan tidak akan berjalan dengan jayanya,” tambahnya.
Beliau turut menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan cepat bagi menangani isu tersebut.
“Terlalu banyak bantahan awam (mengenai skandal) dan oleh itu saya berharap Perdana Menteri menubuhkan RCI secepat mungkin,” kata Wan Saiful.
Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) membentangkan laporannya mengenai perolehan LCS kepada Dewan Rakyat, yang menonjolkan banyak kelemahan dalam projek itu.
Projek itu telah diluluskan pada 2011 semasa era pentadbiran Barisan Nasional-UMNO, ketika itu Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula memegang jawatan Menteri Pertahanan.