Bersatu, PN masih perlukan aura kepemimpinan Muhyiddin

Seluruh barisan kepemimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tetap menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai Presiden parti, walaupun beliau menyatakan kesediaan meletak jawatan susulan prestasi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau akan terus menyokong kepemimpinan bekas Perdana Menteri itu dalam perjuangan bersama Bersatu.

“Perjuangan Tan Sri @MuhyiddinYassin mesti diteruskan. Saya akan tetap menyokong kepimpinan beliau.

“Seluruh kepimpinan parti BERSATU di semua peringkat juga turut mendokong setiap yang beliau perjuangkan,” katanya dalam kenyataan menerusi Twitter beliau hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang bersedia meletakkan jawatan sekiranya ahli mahu beliau berbuat demikian susulan prestasi PN pada PRN Johor yang berakhir semalam, 12 Mac 2022.

Pada PRN itu, PN menang tiga kerusi iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Maharani dan Endau, namun masih menunjukkan prestasi baik diterima oleh pengundi Johor.

Daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor itu, PN menang tiga kerusi, tetapi 25 kerusi lagi berada ditempat kedua jumlah undi terbanyak, manakala 28 lagi di tempat ketiga.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman menolak cadangan Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi PN hanya disebabkan kekalahan gabungan itu pada PRN Johor.

Beliau dipetik FMT sebagai berkata aura kepemimpinan Muhyiddin masih diperlukan oleh rakan komponen PN dan kekalahan itu bukan kerana kekurangan individu tertentu.

“Bagi saya, PN masih memerlukan kepimpinan Muhyiddin kerana apa yang terjadi dalam PRN Johor bukanlah akibat kekurangan individu tertentu, tetapi lebih kepada beberapa faktor lain, seperti jumlah keluar mengundi tidak lebih 50 peratus dan undi blok anti-BN yang berpecah akibat tiada kesepakatan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Faiz berkata, parti pembangkang perlu bersatu membentuk gagasan baharu dengan merancang strategi di luar kotak, sekiranya mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya bersetuju dan menyokong penuh jika ada cadangan agar PN membuat gabungan atau kerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi BN dalam PRU15.

“Parti-parti di negara ini baik kembali kepada satu asas perjuangan bersama yang wajar dijadikan sandaran untuk cari persamaan, iaitu Rukun Negara, baru boleh bersatu.

“Masih ada cahaya jika kita muhasabah dan rancang strategi luar kotak. Tapi objektif perlu lurus, kesepakatan wajar jujur. Catur watak yang sepatutnya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR