Bersatu parti kecil lebih baik PAS bersama dengan UMNO: KB UMNO Melaka

PAS digesa tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana mereka hanya sebuah parti yang kecil berbanding UMNO, kata Ketua-ketua UMNO Bahagian Melaka hari ini.

Wakil kumpulan itu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menyifatkan UMNO merupakan sebuah parti yang besar dan PAS perlu bekerjasama dengan mereka jika mahu memenangi PRN Melaka dan bukannya dengan Bersatu kerana tidak akan memperoleh sebarang kemenangan nanti.

“Jika tidak bersetuju bersama dengan UMNO, bermaknanya perpecahan dikalangan umat Melayu Islam akan lebih kerana parti UMNO di Melaka adalah parti yang besar dan jika PAS tidak bersama dengan UMNO bermakna PAS memilih untuk mengadakan satu perpecahan yang besar.

“Jika tidak bersama dengan Bersatu, Bersatu ini parti yang kecil jadi kita meletakkan harapan supaya PAS memikirkan sebaik-baiknya supaya kita bersama dan akhirnya UMNO dan PAS dapat bersama menghadapi pilihan raya dan akhirnya menawan negeri Melaka dengan lebih selesa lagi,” katanya dalam satu sidang media di Melaka hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu berkata semua ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara sudah membuat ketetapan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dan hanya bersetuju menjalinkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka.

“Kami ketua-ketua UMNO Bahagian di Melaka ini menyatakan pendirian muktamad bahawa kami semua bahagian dalam negeri Melaka, enam bahagian, telah memutuskan bahawa kita tidak akan bekerjasama dengan parti Bersatu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Ali turut menjelaskan pendirian tersebut sudah disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak cuba berunding dengan Bersatu bagi mewujudkan satu kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Khamis lalu, Majlis Tertinggi UMNO membuat ketetapan meneruskan kerjasama dengan PAS, dengan syarat parti itu mesti menggunakan logo sendiri, bukan lambang PN.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada PRU-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR