
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah ditawarkan untuk menyertai Bersatu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu itu mengesahkan ada membuat tawaran kepada Khairy untuk menyertai Bersatu serta menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi kepadanya sejak Januari lalu.
“Saya dan dia (Khairy) sudah berbincang hal ini agak lama, sejak dia dipecat. Ketika itu dia ajak saya berjumpa dan berbincang secara terbuka mengenai hala tuju dan ketokohan beliau sebagai ahli politik muda yang berkaliber.
“Sebenarnya, dia tak mohon untuk masuk (BERSATU) tetapi saya tawar dia menyertai. Tawaran masih ada dan saya ada bertanya lagi (perkembangan menyertai BERSATU) ketika dia menghadiri rumah terbuka saya tempoh hari.
“Khairy bagaimanapun belum memberi sebarang keputusan. Saya rasa tak mengapa, kita tak mahu menggesa dia tetapi harapan BERSATU adalah dia menyertai kita dan bantu membina kekuatan parti,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Jelasnya, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.
Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) merasmikan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0.
Untuk rekod, Khairy sebelum ini dipecat UMNO sebelum berlangsung pemilihan parti kerana hasratnya untuk bertanding melawan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.