
Menteri Dalam Negeri sementara, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Susulan spekulasi mengatakan Parlimen bakal dibubarkan juga pada masa terdekat dan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan semasa musim banjir, Bersatu mengambil inisiatif mengatur gerak dengan melancarkan pasukan sukarelawan seluruh negara.
Pengumuman pasukan sukarelawan itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Sukarelawan tersebut akan mengatur misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.
Katanya, usaha itu akan digerakkan menerusi Skuad Prihatin Bersatu yang diketuai Ahli MPT, Mohd Rafiq Mohd Abdullah.
“Skuad Prihatin Bersatu ini akan turut dilancarkan pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Pahang di Temerloh pada 10 Oktober nanti.
“Kekuatan skuad ini akan dipertingkatan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terbela sebelum, semasa dan selepas banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah berkata, mesyuarat MPT Bersatu turut membincangkan persiapan jentera parti bagi menghadapi PRU-15 susulan spekulasi kuat mengatakan Parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam.