Bersatu fokus ekonomi Melayu, bukan isu putus kerjasama UMNO

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof , menyampaikan sumbangan kepada murid sekolah sempena Program Ceria Sekolah di Alor Gajah, Melaka, hari ini. - Gambar FB

Bersatu menerima dengan hati terbuka sekiranya UMNO tidak lagi mahu meneruskan kerjasama dengan parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Bersatu sebaliknya akan terus memperkukuhkan hubungan dengan parti komponen lain di dalam Perikatan Nasional (PN), terutama PAS, kerana gabungan itu untuk membentuk masa depan bagi mentadbir negara.

UMNO yang kini mengadakan perhimpunan agung (PAU) di PWTC akan membuat keputusan sama ada memutuskan hubungan dengan Bersatu, selepas 124 daripada 190 bahagiannya membawa usul supaya kerjasama itu ditamatkan.

Mengetepikan sementara kemelut politik UMNO di dalam PN, beliau menegaskan Bersatu akan terus mengutamakan pembangunan ekonomi bangsa Melayu.

“Ia adalah sebahagian daripada hala tuju pentadbiran Bersatu sekiranya terus diberi mandat pada PRU15.

“Kepimpinan Melayu perlu dilestarikan kerana majoriti rakyat negara ini adalah Melayu, seterusnya pembangunan ekonomi Melayu perlu dibangkitkan semula pada masa hadapan,” katanya di Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu turut mengajak pemimpin parti komponen di dalam PN memperkasakan hubungan dan kerjasama dengan ikhlas serta telus untuk menstabilkan politik negara agar dapat terus mentadbir urus Malaysia selepas PRU15 nanti.

“Rakyat telah memberi mandat untuk kita mengurus tadbir negara dengan baik… jadi kena ada peningkatan. Kalau kita terus berpecah, bagaimana kita hendak mengurus dasar sedia ada.

“Jadi saya harap semua pemimpin yang bertanggungjawab mentadbir urus negara perlu bersatu padu dalam mengawal keadaan bagi meningkatkan prestasi atau penampilan negara sebagai satu negara yang stabil dalam politik,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof , menyampaikan sumbangan kepada murid sekolah sempena Program Ceria Sekolah di Alor Gajah, Melaka, hari ini. – Gambar FB