Bersatu cadang nombor satu calon PN, bukan orang ketiga dalam parti

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri (PM) ke-10 sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Razali Idris berkata Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu itu adalah calon paling layak untuk dilantik semula sebagai PM.

Katanya, Ahli Parlimen Pagoh itu sudah membuktikan kemampuannya mentadbir negara ketika pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selama lebih 17 bulan mulai 29 Februari lalu.

“Bersatu akan mencadangkan Muhyiddin sebagai calon PM pada PRU akan datang kerana beliau meletakkan jawatannya bukannya ditolak rakyat, sebaliknya ditolak oleh 15 Ahli Parlimen terutama daripada Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Muhyiddin akan dicadang sebagai calon PM kerana beliau adalah Presiden parti berbanding UMNO yang hanya mencadangkan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya memetik laporan BH hari ini.

Beliau dilaporkan berkata demikian kepada selepas program moreh bersama media, di Kuala Terengganu, semalam, sebagai mengulas keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Khamis lalu, yang mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon PM pada PRU akan datang.

Katanya, walaupun semua parti boleh mencadangkan pimpinan tertinggi sebagai calon PM, Bersatu menganggap agak janggal apabila hanya pemimpin yang berada di kedudukan ketiga dalam parti dicadangkan UMNO.

“Rakyat kehairanan, mengapa pemimpin yang berjawatan nombor tiga dicadangkan, ke manakah perginya dan adakah pemimpin berjawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak berkelayakan untuk dicalonkan,” katanya.

Mengenai sokongan kepada Ismail Sabri sebagai PM, Razali berkata, Bersatu dan semua parti dalam PN tetap dengan pendirian untuk terus menyokong Ismail Sabri sebagai PM sehingga Parlimen dibubarkan.

Katanya, semua pimpinan tertinggi parti dalam PN tidak bercadang untuk tumbangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri seperti dilakukan 15 Ahli Parlimen UMNO ketika menjatuhkan Muhyiddin sebagai PM Ogos lalu.

“Kita dan pemimpin parti dalam PN termasuk PAS akan terus memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehinggalah beliau membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR