Bersatu beri mandat kepada Muhyiddin bincang strategi bersama parti lain

Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu diberikan mandat penuh untuk mengadakan perbincangan berhubung strategi parti bersama dengan parti-parti politik lain untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) nanti.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata perkara itu diputuskan semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang memnfokuskan kepada perbincangan perkembangan semasa politik tanah air.

“MPT Bersatu antara lain telah membincangkan hal-hal berkenaan pengurusan parti, perkembangan politik tanah air dan keputusan Pilihan Raya Negeri Johor 2022 yang diadakan pada 12 March lalu.

“Sehubungan itu, MPT Bersatu memutuskan untuk memberikan mandat penuh kepada Biro Politik yang dipengerusikan oleh YB Tan Sri Presiden untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bersama parti-parti politik lain,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, mesyuarat yang berlangsung semalam dipengerusikan oleh Muhyiddin sendiri.

Sebelum ini, media melaporkan berhubung pertemuan Muhyiddin dengan wakil-wakil politik tempatan berhubung bentuk kerjasama yang dijalinkan bagi berdepan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 nanti.

Muhyiddin mengambil langkah merintis hubungan kerjasama dengan parti politik lain susulan pertembungan banyak penjuru yang hanya akan menguntungkan UMNO dan BN, ia terbukti semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lalu.

Semasa PRN Melaka dan Johor lalu, ia menyaksikan pertandingan banyak penjuru di hampir semua kerusi yang dipertandingkan dan ternyata langkah tersebut memberikan UMNO dan BN kemenangan besar dua pertiga majoriti.

Susulan itu juga, UMNO dan BN kini sedang meneruskan usaha untuk mendesak supaya PRU-15 disegerakan dan langkah itu dikritik oleh banyak pihak khususnya sebagai salah satu usaha untuk melepaskan kumpulan Kluster Mahkamah yang sedang berdepan pertuduhan.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga sebelum ini mendedahkan seorang wakil pemimpin kanan Pejuang datang berjumpanya bagi membincangkan usaha ke arah pembentukan kerjasama, ia termasuk dihubungi oleh beberapa wakil parti lain yang senada mahu mengelakkan berlaku pertembungan banyak penjuru.

Penganalisis politik juga menggesa supaya semua parti yang bertanding agar menumpukan ke arah langkah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru kerana strategi tersebut hanya akan menguntungkan UMNO dan BN.

Apabila berita pertemuan Muhyiddin dengan pemimpin parti lain tersebar, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antara yang lantang mengkritik Muhyiddin dengan pelbagai dakwaan kononnya ia adalah satu langkah terdesak.

Namun, Muhyiddin tidaklah dilihat terdesak seperti Zahid dan rakannya, Datuk Seri Najib Razak yang sudah terpalit dengan puluhan kes di mahkamah ketika ini.

Langkah Muhyiddin itu ternyata menyebabkan Zahid dan Najib tidak senang kerana mereka berdua perlu merancang langkah seterusnya untuk membebaskan diri daripada hukuman mahkamah.

BERITA BERKAIT
POPULAR