Bersatu akan kalah PRN Melaka, kata Isham yang tak pernah bertanding

Pengikut setia Datuk Seri Najib Razak meramalkan Bersatu akan kalah semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini turut mendakwa kerusi yang dimenangi Bersatu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu turut akan kalah kali ini.

“Dua kerusi yang PPBM (Bersatu) menang di Paya Rumput dan Telok Mas pada PRU-14 yang lalu adalah kerana pengundi PH dan pengundi bukan Melayu yang kali ini tidak akan mengundi Bersatu lagi.

“Di Telok Mas, Mohd. Rafiq (PPBM) mendapat 12,102 undi. Namun dua per tiga atau 8,000 daripada undi ini adalah dari undi Cina dan India. Tanpa undi ini beliau akan kalah dengan lebih 3,000 majoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada PRU-14, kerusi Dewan Undangan (DUN) Paya Rumput dimenangi Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan DUN Telok Mas dimenagi Datuk Noor Effandi Ahmad.

Beliau menggesa supaya Bersatu tidak bertanding dalam PRN Melaka sebaliknya memberi laluan kepada PAS sahaja bertanding.

“Biar UMNO dan Pas sahaja yang melawan PH di kawasan-kawasan Melayu di bawah Muafakat Nasional (MN) supaya undi Melayu tidak pecah.

“Ini kerana seperti PAS di Sabah, jumlah sokongan dan akar umbi PPBM di Melaka adalah sedikit,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada PRU-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR