Beri penjelasan prestasi UMNO dalam kerajaan tak menyakinkan, kata Annuar kepada Mat Hasan

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kritikan Datuk Seri Mohamad Hasan dengan mengatakan prestasi UMNO dalam kerajaan tidak menyakinkan adalah tidak wajar sama sekali.

Annuar yang juga memegang jawatan Menteri Kabinet berkata kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu sebagai berat serta mengelirukan dan mendesak penjelasan berhubung kritikannya itu dengan memberi fakta yang lebih tepat.

“Semua ucapannya berat. Misalnya dia mengeluarkan kenyataan menyatakan prestasi UMNO dalam kerajaan tidak memuaskan. Itu heavy.

“Kalau saya, saya mahu tahu lagi, apa yang dikatakan prestasi UMNO dalam kerajaan tidak memuaskan. Berdasarkan kepada apa, faktanya apa? Dan portfolio mana yang UMNO pegang yang dirasakan di bawah par? Maka saya kata itu pandangan Tok Mat sebagai orang yang berada di luar kerajaan dan layak untuk menyatakan pandangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sayap Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO di PWTC malam tadi.

Tambah Annuar lagi, ucapan yang diberikan oleh Mohamad juga mengelirukan kerana seakan-akan menyeru supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan tetapi pada masa sama berkata jangan tergesa-gesa.

“Selain itu, saya juga keliru ucapannya kerana beliau kata jangan tergesa-gesa, jangan berdiri terus berlunjur, tapi akhirnya dalam ucapan macam nak segera diadakan PRU-15.

“Jadi saya tidak berapa jelas di situ. Sebab tu saya kata pendekatan ucapan yang nak dilontarkan sesuatu untuk dibahaskan. Jadi bolehlah,” katanya lagi.

Annuar juga berkata, tarikh PRU-15 sama ada cepat atau lambat perlu dibincangkan di pucuk pimpinan secara tertutup dan tidak wajar dibincangkan secara terbuka kerana ia merupakan rahsia parti.

“Kemudian ada yang setuju dan ada yang tak setuju, jadi satu polemik. Jadi kalau buat lambat apa kesannya pula, sebab kuasa pada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bagaimana pula kalau tak dipersetujui kerajaan atau Seri Paduka? Jadi pada saya tidak kena pada tempatnya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Mohamad semasa ucapan perasmian sayap UMNO berkata prestasi UMNO dalam kerajaan ketika ini tidak menyakinkan, ia walaupun parti itu kembali menjadi dominan dengan pelantikan Naib Presiden partinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Prestasi kita dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan. Saya faham dan saya akui, ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik. Tetapi hasilnya tidak menyerlah.

“Pemulihan negara masih belum ada lonjakan konkrit. Pembukaan sempadan negara pula baharu sahaja akan dibuka. Prestasi ekonomi terus suram. Kesempitan masyarakat tidak berkurangan. Sistem pendidikan masih belum mencapai tahap yang sepatutnya. Malah, keterlihatan negara di pentas global seperti lenyap sama sekali.

“Itulah dia, kedudukan sebenar UMNO dan prestasi kerajaan waktu ini. Bagaimanalah UMNO dapat menjadi wakil yang berkesan kepada orang Melayu jika sebeginilah kedudukan dan prestasi UMNO dalam kerajaan,” kata Mohamad.

BERITA BERKAIT
POPULAR