Beri keutamaan suntikan vaksin Covid-19 kepada guru

Guru sudah disenaraikan sebagai penerima utama vaksin Covid-19. - Gambar hiasan

AMANAH Gombak menggesa supaya tenaga pengajar sekolah turut dimasukkan ke dalam kumpulan yang diberi keutamaan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Komunikasinya, Syazmir Hariz Noorazalan berkata, ini susulan rintihan dan keluhan yang diterimanya mendapati ramai dalam kalangan guru belum menerima vaksin walaupun telah mendaftar sejak bulan Februari 2021 lagi.

“Memandangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sekolah akan dibuka mulai pertengahan bulan Julai, maka eloklah jika semua guru di Malaysia ini diberikan vaksin sebelum sekolah dibuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa, kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu menyediakan satu laluan khas untuk membolehkan nama guru-guru didahulukan menerima vaksin selepas petugas barisan hadapan, warga emas dan OKU.

“Langkah ini seiring dengan kenyataan kerajaan yang menganggap guru juga adalah petugas barisan hadapan,” katanya.

Sementara itu beliau mencadangkan supaya kerajaan menjadikan sekolah tertentu atau pusat kegiatan guru peringkat daerah sebagai tempat guru menerima vaksin.

“Usaha untuk memudahkan urusan vaksinasi guru-guru perlu dijelmakan secepat mungkin bagi memastikan semua guru menerima vaksin 100 peratus di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, usaha ini perlu disegerakan sebelum kerajaan beralih kepada usaha untuk memberi vaksin kepada murid khususnya calon SPM 2021.

Terdahulu, KPM menerusi Menterinya Datuk Mohd Radzi Md Jidin pada 6 Jun lalu dipetik berkata sekurang-kurangnya 70,000 guru telah menerima dos pertama vaksin Covid-19

Katanya lagi, kementeriannya sedang merancang untuk menambah lagi jumlah guru yang divaksin dan perkara itu telah dibincangkan bersama menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

POPULAR