Berdepan calon bakal KM, Mas Ermieyati rendah diri biar pengundi tentukan

Walaupun berdepan calon hebat dan juga seorang bakal Ketua Menteri (KM) dari Barisan Nasional (BN), calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak menolak cabaran hebat yang sedang dihadapinya.

BN meletak calon mereka yang juga bakal KM baharu Melaka jika menang, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk melawan Ahli Parlimen (MP) Masjid Tanah tersebut, bagaimanapun Mas Ermieyati yakin pengundi akan menilai prestasinya sepanjang berkhidmat di kawasan Parlimen tersebut dalam memilih wakil mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

“Pengundi boleh menilai gerak kerja saya di sini walaupun ada mengatakan ini kubu BN, tapi bagi saya peluang yang ada sama rata,” katanya semasa ditemui Agenda Daily.

Untuk rekod, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak dalam Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi Mas Ermieyati semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Rauf disebut-sebut sebagai calon KM Melaka sekiranya BN memenangi PRN kali ini, malah semasa penamaan calon pemimpin utama BN seperti Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Najib Razak turut mengiringinya ke pusat penamaan calon.

Malah Rauf juga dikenali sebagai seorang pengikut setia Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang banyak berjasa kepada karier politiknya.

Beliau digeruni dikalangan pemimpin akar umbi UMNO di Melaka, malah difahamkan senarai calon yang bertanding bagi BN juga kebanyakkan adalah pilihan Rauf sendiri.

Mas Ermieyati menyedari cabaran dan kekangan dihadapinya semasa PRN Melaka kali ini susulan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun akan menggunakan pendekatan baharu dan lebih kreatif bagi memastikan pengundi di Tanjung Bidara menyokongnya nanti.

“Banyak kekangan namun kita perlu memanfaatkan semua platform. Di sini terdapat lebih 10,000 pengundi dan kita fokus kepada semua peringkat umur.

“Ceramah dan kempen tidak dibenarkan begitu juga kempen rumah ke rumah. Ini adalah cabaran besar buat calon baharu kerana mereka perlu perkenalkan diri,” katanya.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati yang bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Datuk Dr Sabirin Ja’afar daripada PKR dan Nasir Othman (PAS).

Beliau merupakan MP Wanita pertama di Melaka selepas memenangi PRU-14 lalu di Masjid Tanah dan tidak mustahil juga boleh menjadi KM wanita pertama di Melaka.

Memiliki kelayakan pendidikan dalam jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mas Ermieyati banyak membantu rakyat di kawasan Parlimennya.

Ia terbukti sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara, rakyat di Parlimen Masjid Tanah yang terjejas punca pendapatan mendapat perhatian sepenuhnya Mas Ermieyati yang tidak memilih bulu dalam memberi bantuan.

Tidak kira latar belakang politik, Mas Ermieyati memberi layanan dan bantuan seadilnya kepada warga Masjid Tanah termasuk juga mereka yang berada dalam kawasan DUN Tanjung Bidara.

Bantuan bakul makanan mahupun bantuan kewangan secara peribadi disalurkan Mas Ermieyati kepada pengundi di kawasannya.

Kesibukan menjawat jawatan Timbalan Menteri tidak menghalang Mas Ermieyati untuk menabur khidmat kepada warga Masjid Tanah, tiada juga kontroversi besar dikaitkan dengan beliau sepanjang memegang jawatan dalam Kabinet.

Untuk rekod, Mas Ermieyati juga Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah.

Perlawanan di DUN Tanjung Bidara bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mas Ermieyati (PN), Rauf (BN) dan Zainal Hassan (Pakatan Harapan).

BERITA BERKAIT
POPULAR