Belum tahu siapa bersalah, Najib tak wajar buat ugutan

Pemimpin senior parti, Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan Datuk Seri Najib Razak supaya tidak membuat ugutan melulu terhadap Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional.

Bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak tidak wajar membuat ugutan dengan menggesa pemimpin parti yang hanya berbeza pendapat disingkirkan daripada menjadi calon pada pilihan raya umum (PRU) depan.

Pemimpin senior parti, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tindakan Najib tersebut dibuat secara melulu walhal masih belum diketahui siapa yang bersalah atau betul dalam isu yang sedang melanda parti itu; UMNO kini berbeza pendapat berhubung pembukaan sidang Parlimen dan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Untuk menyuruh tidak dicalonkan itu adalah satu ugutan yang tidak sewajarnya dibuat. Kita belum tahu siapa bersalah lagi di sini, kalau dah bersalah yang tak boleh bertanding itu, tak bertandinglah. Sekarang, kita belum tahu siapa bersalah lagi.

“Sama ada Nazri (Datuk Seri Nazri Aziz) bersalah, saya bersalah, atau Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) bersalah. Kenapa tiba-tiba Najib mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa?” katanya kepada Agenda Daily dalam satu wawancara.

Krisis tercetus sejurus kenyataan Biro Politik UMNO yang dipengerusikan Presiden, Zahid pada Isnin lalu yang memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuat keputusan membuka sidang Parlimen.

Pendirian Zahid tersebut mendapat sokongan Najib yang menyifatkan tindakan melambatkan pembukaan sidang Parlimen sebagai satu penderhakaan kepada YDPA dan Raja-Raja, malah bekas Perdana Menteri itu berkata mereka yang menolak titah itu perlu disingkir daripada menjadi calon.

Kedua-dua mereka, Zahid dan Najib dilihat mengeluarkan pendirian senada dengan blok pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nazri mendakwa Zahid menjadi ejen kepada Anwar yang mendalangi pengumpulan akuan bersumpah (SD) di kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Anwar. Untuk rekod Nazri antara terawal menarik sokongannya daripada kerajaan PN tahun lalu.

Zahid dan Anwar terpalit dengan satu pakatan sulit susulan pendedahan klip audio selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) pada Mac dan juga surat sokongan Zahid bersama Najib yang dihantar ke Istana Negara pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Nazri semasa wawancara dengan Agenda Daily menuduh Zahid menipunya ketika didorong membuat tindakan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, tegas Shahidan lagi, Najib tidak berhak mengeluarkan sebarang kenyataan apatah lagi menghukum terlebih awal sebelum Presiden memberi penjelasan berhubung krisis yang berlaku.

“Zahid akan memberi penjelasan kepada kami bila dia berjumpa dengan Ahli-Ahli Parlimen, tetapi Kenapa Najib buat kesimpulan awal? Kenapa dihukum berdasarkan itu? Najib tidak terlibat, kenapa dia pula yang hukum kami padahal kami mengikut keputusan PAU.

“Yang tidak ikut keputusan Perhimpunan Agung UMNO ni adalah Zahid dan mungkin Najib sebab dia yang tandatangan sokong Anwar,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, PAU 2020 membuat pendirian dengan ketetapan “No Anwar” dan “No DAP”, serta menamatkan kerjasama dengan PN semasa PRU15 nanti.

Bagaimanapun, perkembangan mutakhir ini mendapati Zahid dan Najib lebih cenderung senada dengan Anwar, malah dikatakan mereka berdua menandatangani SD menyokong Presiden PKR itu sebagai calon Perdana Menteri.

POPULAR