
Bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikenakan pendakwaan terpilih.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – agensi yang bermotokan Bebas, Telus, Profesional – supaya menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berhubung punca pendapatan parti PKR dan UMNO.
“Mereka (Anwar dan Zahid) berdua adalah Presiden PKR dan Presiden UMNO,” kata Presiden Bersatu itu yang kini berdepan pendakwaan terpilih bermotifkan politik kerana dituduh menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa.
Empat tuduhan rasuah itu yang semua dana dimasukkan ke dalam akaun parti Bersatu ialah:
- Didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti, Bersatu;
- Didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik parti, Bersatu;
- Didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik parti, Bersatu; dan
- Didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 daripada Azman Yusoff bagi milik parti, Bersatu.
Beliau juga didakwa atas dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta, yang semua wang itu masuk ke akaun parti Bersatu.
“Saya hendak cabar SPRM supaya siasatlah Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi. Siasatlah dari mana punca pendapatan PKR dan UMNO. Tidakkah mereka juga menerima dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?
“Sebelum PRU-15, UMNO adalah parti utama dalam Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri daripada UMNO. Parti itu juga mengetuai Kerajaan Negeri Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor. Adakah UMNO tidak menerima sumbangan dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?,” soal beliau.
Demikian juga, Muhyiddin berkata PKR mengetuai Kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan, sementara DAP mengetuai Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Adakah PKR dan DAP tidak menerima sumbangan dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?,” katanya lagi.
Menurutnya, banyak laporan telah dibuat oleh ahli-ahli parti Bersatu supaya SPRM menyiasat sumber dana parti-parti ini, tetapi yang disiasat hanyalah Bersatu.
“Yang didakwa hanyalah saya sebagai Presiden Bersatu. Parti lain dan Presiden parti lain dikecualikan daripada siasatan dan pendakwaan. Bukankah ini suatu bentuk pendakwaan politik yang terpilih?,” soal beliau lagi.
Sementara itu, pada Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman, anjuran PN di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Taman Melewar, Gombak dekat ibu negara malam tadi (11 Mac 2023), Muhyiddin berkata beliau akan mempertahankan kedudukannya di mahkamah.
Beliau yakin insya-Allah dengan izin Allah dan doa serta solat hajat yang dilakukan beliau akan bebas daripada segala bentuk kezaliman yang dilakukan terhadapnya, keluarga serta parti.
“Soal yang dipertikaikan ialah soal bantuan dan sumbangan yang telah pun diberikan oleh banyak pihak terhadap parti kita (Bersatu). Sebenarnya sekarang ini tidak ada suatu akta ataupun perundangan berkaitan dengan pendanaan politik ataupun political contribution.
“Di negara kita ini banyak parti-parti politik, baik yang ada dalam kerajaan ataupun bukan kerajaan, tidak berniaga… tidak ada sumber, dan pendapatan mereka sebahagiannya hasil daripada tabung-tabung yang macam hari ni diedarkan atau pemberian daripada mereka-mereka yang sayang dan mahu menyokong perjuangan parti itu.
“Tetapi yang dituduh kepada saya ialah seolah-olah saya sudah menerima (rasuah). Secara peribadi saya tidak menerima satu sen pun. Itu hukumnya haram.
“Tetapi yang ada dalam akaun kita hari ni dikatakan oleh mereka adalah sumber-sumber yang haram, termasuklah sumber yang diberikan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang dinyatakan juga dalam pertuduhan itu telah memberikan suapan pada kita sejumlah yang telah pun disebutkan dalam pertuduhan itu.
“Sedangkan kita tahu beliau adalah seorang hartawan dermawan, antara tokoh-tokoh korporat negara kita yang besar yang telah pun berikan sumbangan, saya yakin dan percaya, bukan saja pada Bersatu… pada banyak parti-parti yang menjadi kerajaan sebelum daripada ini. Gerenti punya.
“Siapa dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO, DAP ataupun daripada PKR dan sebagainya tidak menerima sumbangan daripada mana-mana pihak sama ada waktu mereka berada dalam kerajaan ataupun tidak berada dalam kerajaan.
“Jadi persoalannya kenapa begitu? Itu sebab bagi kami yang ada dalam Bersatu ini khususnya dan amnya dalam Perikatan Nasional berpendapat tindakan yang telah pun diambil tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membunuh kita,” katanya.