Bekas naib ketua AMK sifatkan keputusan Rafizi akan bawa perpecahan parti

PKR dijangka bakal berdepan perpecahan sekiranya Rafizi Ramli meneruskan keputusannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti tersebut.

Bekas naib ketua AMK yang dipecat, Syed Badli Syah Syed Osman berkata bekas Ahli Parlimen Pandan itu sepatutnya hanya bertanding jawatan lamanya, naib presiden dan bukan mensasarkan jawatan nombor dua dalam PKR.

“Meneliti hujah beliau dalam rancangan bual bicara “Terpaling Terus Terang”, saya mendapati terdapat kebenaran yang perlu diakui dari sudut kelemahan prestasi Keadilan dalam menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).

“Namun demikian saya juga khuatir jika beliau hanya kembali untuk merebut posisi sebagai timbalan presiden, fraksi beliau akan membawa perpecahan ke dalam parti kerana beliau sudah lama menghilangkan diri.

“Tiada keperluan untuk beliau bertanding jawatan yang lebih tinggi sedangkan beliau telah diberikan tugas sebagai naib presiden sebelum ini namun beliau memilih untuk mengabaikannya.

“Justeru itu saya ingin menyarankan kepada saudara Rafizi untuk merendahkan sedikit ego demi penyatuan parti dengan mempertahankan jawatan naib presiden dan seterusnya memikul tugas sebagai pengarah pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Rafizi baru-baru ini mengumumkan untuk kembali aktif dalam politik selepas bersara sementara dan turut mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam pemilihan parti tersebut.

Rafizi dijangka berdepan sekurang-kurangnya dua lagi pesaing, termasuk Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Mubarak.

Jelas Syed Badli,Saifuddin lebih sesuai memegang jawatan timbalan presiden kerana pengalaman dan kesetiaannya kepada parti.

BERITA BERKAIT
POPULAR