
Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.
Kerajaan campuran melantik bekas Ahli Parlimen (MP) dari Parti Amanah, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dilantik sebagai Yang DiPertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu.
Pengumuman lantikan bekas MP Hulu Langat itu diumumkan YADIM dalam satu kenyataan hari ini yang berkata ia dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Hasanuddin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, sesuai dengan gerak kerja YADIM yang membabitkan dakwah kepada orang ramai.
Beliau juga sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terbabit dengan badan badan bukan kerajaan (NGO).
Pelantikan Hasanuddin ini bagi menggantikan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasruddin Hassan.
Kenyataan itu turut memaklumkan, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin @Che Wan dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua badan dakwah itu.
Bersesuaian dengan pembabitan Adi Anuar dalam bidang pendidikan, lantikan ini dapat membantu YADIM dalam melahirkan daie muda bagi menjalankan aktiviti dakwah di negara ini.
Pelantikan bagi dua jawatan bukan eksekutif ini berkuatkuasa 3 Mei lalu.
YADIM percaya dengan pengalaman dan kepimpinan dua tokoh ini akan dapat meningkatkan YADIM sebagai badan dakwah bagi menyebar nilai murni Islam dengan Rahmah sesuai dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Madani.