
Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz.
Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz menolak cadangan supaya melompat parti secara beramai-ramai dibenarkan, sebagaimana cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya membenarkan cadangan berkenaan akan bertentangan dengan objektif keseluruhan rang undang-undang (RUU) antilompat parti, yang mendapat sokongan lebih dua pertiga MP di Dewan Rakyat semalam.
Dalam rancangan temu bual terbitan Astro Awani, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu sebaliknya mencadangkan MP mengekalkan pegangan politik masing-masing selama lima tahun – tempoh ditetapkan bagi pemilihan mereka – bagi menghormati pilihan yang dibuat pengundi.
“Secara peribadi saya percaya kita perlu komited kepada gabungan kita. Jika kita memasuki pilihan raya umum sebagai satu pasukan, maka sudah tentu dalam tempoh kita dipilih kita mesti mengekalkan kesetiaan kita (kepada pasukan).
“Jika tidak, apakah bezanya seorang wakil rakyat melompat, dan beberapa yang lain melompat secara berkumpulan? Sama juga,” kata Nazri semasa program bual bicara Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan malam tadi.
Walaupun Nazri tidak menyatakannya, kenyataan beliau dilihat merujuk kepada cadangan Dr Mahathir ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat sebelum ini.
Rabu lalu, MP Langkawi itu berkata, lompat parti, walaupun sepatutya tidak digalakkan, perlu dibenarkan bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan dibentuk sekiranya tiada parti yang menang lebih 50 peratus kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Bekas perdana menteri itu berkata sekiranya tiada parti yang mampu memperoleh kerusi minimum 112 di Dewan Rakyat, lompat parti selepas PRU boleh memastikan kestabilan politik di negara ini.
“Selepas pilihan raya (umum), (jika) tidak ada satu parti yang mendapat lebih 50 peratus kerusi (dalam Dewan Rakyat) yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan, maka kita mungkin memerlukan satu lagi pilihan raya,” kata Dr Mahathir.
Mengulas lanjut, Nazri mencadangkan masalah yang melanda parti atau gabungan mesti diselesaikan secara dalaman sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama mereka.
“Jika ada masalah, anda perlu menyelesaikannya kerana anda telah berjanji kepada rakyat. Ini pasukan kita,” katanya.