Bekas MB Johor hadapi saingan empat penjuru di DUN Bukit Kepong

Bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Perikatan Nasional (PN) akan ditentang tiga calon lain di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Dr Sahruddin, yang merupakan penyandang kerusi itu, ditentang calon Barisan Nasional (BN) Ismail Mohamed yang juga bekas Ahli DUN (ADUN) Bukit Serampang merangkap bekas Exco Negeri Johor ketika negeri itu diperintah oleh kerajaan BN, menurut laporan Bernama.

Dr Sahruddin juga akan berdepan saingan daripada dua muka baharu iaitu Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Nur Afiqah M Zulkifli.

Senarai calon bagi DUN Bukit Kepong itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rahman @ Abdul Rahman Selamat di pusat penamaan calon DUN itu di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Dr Sahruddin yang bertanding sebagai calon PH-Bersatu berjaya meraih 11,665 undi, menewaskan calon BN Mohd Noor Taib dengan 10,392 undi dan calon PAS Iqbal Razak (1,761 undi) dengan kelebihan majoriti 1,271 undi.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor selepas PH berjaya membentuk kerajaan negeri pada 9 Mei 2018.

Pada 14 April 2019, Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan.

Perkhidmatan beliau sebagai Menteri Besar Johor bagaimanapun berakhir selepas kerajaan negeri pimpinan PH tumbang pada Februari 2020.

BERITA BERKAIT
POPULAR