Bekas Ketua Hakim ingatkan Zahid, ahli MT tak jadi Pak Pandir Moden

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Kemelut politik yang dicetuskan susulan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi dibimbangi akan menyebabkan teraju pentadbiran Kerajaan Malaysia kembali semula kepada Pakatan Harapan (PH).

Dan jika itu yang berlaku, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli MT yang menyokongnya mesti bertanggungjawab kepada bangsa Melayu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Zahid bahawa UMNO tidak akan menyokong usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau kerajaan ditunjangi DAP-PH.

Beliau mempersoalkan adakah boleh seseorang yang berada di luar PH dan Perikatan Nasional (PN) mendapat manjoriti bagi menubuhkan kerajaan dan mengekalkannya.

Beliau mengingatkan bahawa PH masih mantap dengan bilangan Ahli-Ahli Parlimen, termasuk Pejuang, yang mungkin mempunyai majoriti, sedangkan kerajaan PN tanpa UMNO besar kemungkinan akan kehilangan majoriti.

Beliau turut bertanya dari mana kerajaan baharu tajaan UMNO akan mendapat majoriti jika tanpa sokongan PH dan PN.

“Saya khuatir, tindakan UMNO itu akan menyerah balik kerajaan yang diperolehi daripada PH itu kepada PH semula. Jika itu berlaku, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ahli-Ahli MKT yang menyokongnya bertanggungjawab kepada bangsa Melayu. Mereka adalah Pak Pandir Moden.

“Sama-samalah kita tunggu untuk melihat kedatangan semula political genius atau Pak Pandir Moden. Yang menakutkan ialah pertaruhannya terlalu besar: masa depan bangsa Melayu,” katanya mengulas keputusan diumumkan Zahid di mana UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sambil mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.

Abdul Hamid juga berkata kesan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN tidak menyebabkan Muhyiddin kehilangan jawatan Perdana Menteri dan kerajaan PN tumbang.

“Ini kerana, pertama keputusan itu adalah keputusan parti. Walaupun Ahli-Ahli Parlimen UMNO sepatutnya turut menarik diri daripada menyokong Kerajaan PN, mereka tidak semestinya akan berbuat demikian. Mungkin mereka akan dipecat dari parti, tetapi mereka masih tetap boleh menyokong Kerajaan PN.

“Kedua, kita tidak tahu sama ada terdapat Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang mungkin mengubah fikiran dan menyokong Kerajaan PN.

“Ketiga, selagi Tan Sri Muhyiddin tidak meletak jawatan atau Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin masih menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Ikuti tulisan penuh beliau dalam ruang Rencana Agenda Daily

POPULAR