Bekas Exco jaguh tembak babi umum bertanding bebas

Selepas namanya tercicir dalam senarai calon Pakatan Harapan (PH), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengumumkan hari ini akan bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Norhizam yang dikenali sebagai jaguh tembak babi itu membuat pengumuman tersebut selepas mendapati Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengumumkan namanya sebagai calon mereka.

Sebelum ini, DAP menegaskan menolak sebarang langkah untuk menamakan Norhizam sebagai calon PH.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), Norhizam menang di kerusi Pengkalan Batu atas tiket DAP tetapi menjadi ADUN Bebas dan menyokong Perikatan Nasional (PN) di Melaka. Tindakan itu menyebabkan PH tumbang di Melaka pada Mac 2020.

Turut keluar daripada PH ketika itu ialah ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR), selain dua ADUN dari BERSATU iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Bagaimanapun, Norhizam yang menjadi ADUN Bebas menyertai bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dari UMNO, Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) juga dari UMNO serta Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dari Bersatu menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

DAP mengumumkan akan meletak calon mereka, Muhammad Danish Zainudin, 25, di Pengkalan Batu.

Sementara itu, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional masing-masing turut mengumumkan calon mereka di Pengkalan Batu.

BERITA BERKAIT
POPULAR