
Datuk Hasan Rahman.
Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Melaka dilepas dan dibebaskan dari 34 pertuduhan penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bernilai RM318,400 pada 2017.
ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman terlepas daripada hukuman selepas Mahkamah Sesyen Ayer Keroh membebaskannya pada 19 Ogos lalu, menurut peguamnya, Datuk Hasanal Rezua Merican seperti dilaporkan Bernama.
Katanya, Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin membuat keputusan berkenaan selepas mendapati semua 34 pertuduhan itu gagal dibuktikan kes prima facie.
“Oleh itu, Hasan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada semua pertuduhan yang disabitkan ke atas beliau. Kami tidak memaklumkan keputusan ini lebih awal kerana menunggu tempoh 14 hari yang dibenarkan oleh undang-undang untuk pihak pendakwaan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi.
“Setelah tamat tempoh tersebut, pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan dan dengan itu pendakwaan terhadap Hasan diselesaikan secara tuntas untuk beliau dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” katanya.
Pada 9 Julai 2019, Hasan, 57, membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Mohd. Nasir.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-34, Hasan didakwa melakukan jenayah pecah amanah dana NBOS 2016 dengan menandatangani 34 cek untuk projek ternakan rusa, tanaman pisang serta sayur-sayuran gantian cili dan jagung yang tidak diterima penerima projek berkenaan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.
Sementara itu, Hasan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin melahirkan rasa syukur apabila Mahkamah Sesyen membuktikan beliau tidak bersalah atas kesemua 34 pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat dan rakan seperjuangan yang sentiasa mendoakan saya. Sangat memeritkan sepanjang tiga tahun lebih saya berdepan kes ini dan kini saya didapati tidak bersalah,” katanya.