
Beg tangan diguna isteri Menteri Besar Kelantan Datin Siti Zabidah Abd Hamid hanya berharga sekitar RM300, bukan RM26,000 atau seperti beg mahal Hermes yang dikaitkan dengan isteri seorang bekas pemimpin negara sebelum ini.
Dakwaan mengatakan isteri Menteri Besar Kelantan Datin Siti Zabidah Abd Hamid menggunakan beg tangan berharga RM26,000 adalah satu fitnah untuk menjatuhkan imej dan peribadi kerajaan PAS.
Unit Komunikasi Menteri Besar Kelantan dalam kenyataan hari ini berkata hakikat sebenar adalah beg tangan tersebut sekadar berharga sekitar RM300 bukannya mewah sehingga berharga RM26,000 seperti didakwa.
“Cubaan mereka fitnah untuk menjatuhkan imej dan peribadi kepimpinan Kerajaan Negeri.
“Kali ini adalah cubaan fitnah untuk menjejaskan reputasi YAB Menteri Besar Kelantan menerusi fitnah penggunaan beg tangan Isteri Menteri Besar yang berjenama mewah tanpa sebarang bukti dan usul periksa berkenaan status barangan tersebut.
“Dalam situasi musibah banjir, di saat kepimpinan Kerajaan Negeri bertungkus lumus menguruskan, membantu dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat yang susah masih ada satu pihak yang mengambil pendekatan fitnah bagi mengundang keresahan awam.
“Rakyat tidak sepatutnya disajikan bahan fitnah dan persepsi jahat bagi tujuan “character assasination” yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti dan integriti kepimpinan Kerajaan Negeri,” kata unit itu.
Sementara itu, menjawab dakwaan yang tular di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp itu, anak Menteri Besar yang dikenali sebagai Azma menyatakan beg berkenaan sebenarnya adalah hadiah daripadanya dan adik-beradik.
“Beg tu sebenarnya hadiah dari kami anak-anak kepada umi sempena Family Day 2022 (Hari Keluarga 2022).
“X dok modal sungguh waso ore pon nk fitnah2… umi oyak kalau beg RM26,000, baik beli emas (tiada modal sungguh orang ramai hendak fitnah. Ibu kata kalau beg harga RM26,000 baik beli emas,” katanya.