Beberapa pemilih DUN Bekok tak puas hati pusat mengundi ditutup awal

Tindakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menutup awal pusat mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok menyebabkan beberapa pemilih tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Terdahulu, tular satu klip video pengundi tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi yang ditutup sekitar 2 petang dan petugas SPR kelihatan tidak membenarkan pengundi masuk untuk membuang undi mereka.

Pengundi DUN Bekok, Juniza Mat Zaini mendakwa tidak dibenarkan mengundi kerana pusat mengundi sudah ditutup.

“Nama saya Juniza Mat Zaini datang sini untuk mengundi tapi tak dibenarkan mengundi kerana dia (SPR) kata sudah tutup,” kata seorang pengundi dalam satu klip video.

Sementara itu, portal Malaysiakini melaporkan calon DAP di DUN Bekok, M Kanan berkata terkejut dengan tindakan SPR menutup awal pusat mengundi dengan memberi alasan kehadiran pengundi rendah.

“Saya terkejut dengan keputusan SPR untuk menutup pusat mengundi lebih awal kerana jumlah pengundi yang rendah. Apakah rasional di sebalik keputusan SPR ini?

“Mereka sepatutnya membuka ke semua pusat mengundi sehingga enam petang untuk memberi hak kepada pengundi yang masih tidak keluar mengundi.

“Bagaimana jika seorang pengundi yang kerja hari ini mungkin akan keluar mengundi pada sebelah petang?” katanya lapor Malaysiakini.

Laporan portal itu juga mendedahkan menurut seorang ejen tempat mengundi, tiga pusat mengundi yang ditutup ialah PDM Ladang Kempas, Ladang Getah Eldred Bekok dan Kampong Jawa Chaah, manakala PDM Chaah Timur akan ditutup pada pukul 4 petang.

“Kami percaya lebih ramai pengundi akan keluar mengundi pada petang. Ini kerana ada yang masih perlu pergi bekerja pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Kanan mendakwa SPR juga memberi notis awal kepada calon yang terlibat bahawa pusat mengundi akan ditutup awal.

Namun, dia mempersoalkan sama ada adakah pengundi dimaklumkam berkenaan perkara itu.

“Tidak bermakna sekiranya notis itu ditampal di pusat mengundi sahaja tetapi pengundi tidak dimaklumkan,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR