
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta supaya Datuk Mahfuz Omar menyemak dengan peguamnya berhubung proses pembayaran kes saman fitnah dan bukannya meminta secara terus menerusi rakaman video.
Menteri Besar Kedah itu berkata calon Parlimen Pokok Sena yang kalah dengan majoriti besar semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu perlu lebih matang dan memahami proses undang-undang perlu mengambil sedikit masa.
“Semua urusan berkenaan dengan saman, afidavit atau pembelaan semua peguam uruskan, bukan saya berurusan secara terus dengan dia.
“Daripada awal lagi proses ini diurus di antara peguam saya dan peguam Mahfuz, daripada bicara kes sampai selesai. Jadi tak betullah kalau tentang bayaran Mahfuz cuba bertindak sendiri,” katanya dipetik laporan BH.
Sanusi juga berharap supaya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu tidak membuat publisiti murahan berikutan sejak awal kes diuruskan oleh kedua-dua peguam yang dilantik.
Katanya, semua urusan berkaitan termasuk pembayaran terhadap tuntutan Mahfuz sebanyak RM120,000 akan diuruskan oleh peguam.
Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah turut menasihatkan Mahfuz agar bersabar kerana proses membabitkan guaman biasanya mengambil masa.
“Nasihat saya sabarlah dan rujuk kepada peguam. Saya akan minta peguam saya uruskan pembayaran dan ia akan diuruskan antara peguam saya dengan peguam Mahfuz, bukan Sanusi dan Mahfuz,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, tindakan Mahfuz meminta bayaran RM120,000 menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Twitter itu juga disifatkan sebagai cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.
“Saya rasa cara berpolitik seperti itu macam tahun 60-an, tak sesuailah zaman sekarang orang cerdik menilai,” katanya.