Banyak parti politik tawar saya sertai selepas keluar PAS: Khairuddin

Bekas Ahli Parlimen PAS, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mendedahkan banyak pihak daripada pelbagai parti politik menawarkannya untuk menyertai mereka, namun membuat keputusan untuk menolaknya setakat ini.

Khairuddin yang baharu mengumumkan keluar PAS dan menjadi wakil bebas berkata enggan menyertai mana-mana politik atas alasan berpegang kepada prinsip yang diperjuangkannya, namun beliau tidak mendedahkan pihak parti tersebut yang membuat tawaran terhadapnya itu.

“Ya, memang ramai yang datang, pelbagai parti bukan untuk menawarkan (masuk parti mereka), tetapi, memberikan semangat atas nama sesama ahli Parlimen dan rakan politik.

“Ada juga yang tawar macam-macam, namun, itu biasa sahaja sebenarnya, tak perlu kita sangka apa-apa kerana yang penting saya nak ajak semua orang dan parti bekerjasama untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Khairuddin terdahulu mengadakan program pemberian minyak motosikal percuma di Padang Air, Kuala Nerus.

Terdahulu, Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan keluar daripada PAS berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Khairuddin berkata, segala perancangan untuk terus melangkah ke hadapan akan diumumkan kepada masyarakat tidak lama lagi selepas selesai melakukan istikharah di samping berbincang dengan rakan.

Sementara itu, katanya, ramai rakan dalam PAS memberi pandangan termasuk memujuknya kembali kepada parti.

“Saya berikan satu jawapan sahaja iaitu supaya mereka kekal istiqamah dengan Pas sebagai wadah perjuangan Islam yang terbaik. Pesanan sama turut diberikan kepada pegawai yang bertugas di Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR