
Perang mulut berlaku antara urusetia dan sekumpulan anggota Anak Muda Keadilan sebelum Kongres Nasional Ke-16 PKR diadakan di Shah Alam pagi tadi, 15 Julai 2022. - Gambar Astro Awani
Percakaran yang melibatkan sayap pemuda PKR di Kongres Nasional Tahunan Ke-16 pagi tadi berlaku disebabkan satu kes salah faham, kata Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Ahmad Syukri Razab.
Menurutnya untuk mendapatkan mandat menjadi sebahagian daripada perwakilan tahun ini, setiap bahagian PKR perlu memenuhi dua syarat.
Yang pertama, katanya, setiap bahagian mengadakan perhimpunan agung tahunannya dengan kuorum yang mencukupi supaya laporan tahunannya mendapat tandatangan yang mencukupi.
Keperluan kedua, katanya, ialah bahagian mengikut proses pengundian wajib yang memaksa mereka mengisi sekurang-kurangnya lapan jawatan penting – ketua, timbalan ketua, naib ketua dan lima ahli jawatankuasa.
“Dua syarat ini mesti dipenuhi. Apa yang berlaku sebelum ini ialah mereka (yang dilarang masuk dewan) hanya memenuhi syarat kedua.
“Memandangkan mereka menang (di bahagian) mereka menganggap layak menjadi perwakilan, tetapi mereka tidak memenuhi syarat pertama, yang jelas dinyatakan dalam garis panduan kami.
“Kami telah menyenaraikan kesemua 75 bahagian yang boleh hadir (kongres hari ini) dan semuanya disiarkan dalam laman web kami… bermakna ahli kami boleh menyemak laman web itu dahulu sebelum datang ke sini,” katanya kepada media hari ini.
Pagi tadi, puluhan anggota pemuda PKR yang cuba memasuki dewan kongres dilarang berbuat demikian sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan mulut sejurus selepas kongres bermula.
Syukri berkata selain perwakilan, terdapat juga isu dengan pemerhati PKR yang mahu memasuki dewan tetapi ditolak kerana kapasiti terhad.
“Kami tidak mendapat peruntukan yang besar. Kami mempunyai 675 perwakilan yang datang dari seluruh (Malaysia) dan kapasiti setiap dewan adalah 400. Jika kami benarkan pemerhati masuk, kami bimbang perwakilan tidak mempunyai ruang yang mencukupi.
“Sebelum ini, ada yang datang berjalan-jalan memikirkan mereka boleh masuk sahaja dan isu itu berlaku selepas kami memberitahu mereka tidak boleh.
“Saya rasa ini adalah isu struktur yang tidak semua orang faham, dan mungkin kesalahannya juga pada kami, kerana kami tidak menjelaskannya secara menyeluruh kepada semua orang.”
Menurut Syukri, daripada 222 bahagian PKR di seluruh negara, yang mempunyai proses pengundian sayap pemuda “sempurna” terdiri daripada 138 dan daripada jumlah itu, hanya 75 bahagian yang memenuhi dua syarat wajib itu.