
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah mengucapkan tahniah kepada Rafizi Ramli susulan keputusan tidak rasmi pemilihan PKR yang diumumkan malam ini.
Bagaimana Rafizi Ramli boleh mendakwa dirinya membantu mendapatkan kerja sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang walhal tidak mempunyai hubungan baik dengan Lim Guan Eng, soal Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Setiausaha Agung PKR itu menyifatkan dakwaan Rafizi yang juga pesaingnya bagi jawatan Timbalan Presiden sebagai tidak munasabah sama sekali, malah tidak mengetahui kewujudan kertas kerja yang didakwa oleh bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
“Guan Eng mempelawa saya untuk berkhidmat di sana dan dilantik sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri bagi memperbetulkan persepsi masyarakat terutamanya berkaitan isu Melayu dan Islam terhadap kerajaan negeri itu.
“Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang.
“Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Lim Guan Eng, apa lagi untuk mencadangkan pelantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri,” balas Saifuddin terhadap kenyataan Rafizi sebelum ini.
Terdahulu media melaporkan, Rafizi mendakwa telah mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan Pulau Pinang pada 2017 untuk melantik Saifuddin Nasution sebagai penasihat strategik kepada Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri ketika itu.
Rafizi turut mendakwa, faktor beliau ‘bercuti’ daripada arena politik adalah kerana membantu Saifuddin Nasution yang dikatakan ‘hilang kerja’ selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Dalam pada itu Saifuddin menjelaskan, beliau telah memenuhi jemputan syarahan beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan institusi pendidikan di Jakarta, Indonesia untuk membiayai keperluan seisi keluarga setelah kalah pada PRU-13.