
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad gesa henti beri tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
UMNO sepatutnya membantu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam merangka persediaan pembentangan Belanjawan 2023, bukan berterusan memberi tekanan dan mengkritik kerajaan sedia ada.
Ismail Sabri memerlukan sokongan UMNO untuk memastikan pentadbirannya berjalan dengan baik bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat ketika ini, kata Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang meminta semua pihak bertenang.
“Saya tidak nampak ada baiknya kita cabar mencabar. Kita sepatutnya mencari jawapan kepada persoalan dihadapi rakyat dan bukannya bertegang leher antara satu sama lain yang akhirnya kita masih berdepan masalah sama. Sudahlah masa terbuang, jalan penyelesaian pun tidak dapat kita tawarkan kepada rakyat kerana pada akhirnya ialah kepentingan rakyat.
“Kita semua tahu bahawa kita dalam peringkat untuk menyediakan Belanjawan 2023. Adalah lebih baik kita tumpukan sepenuh masa untuk membantu Perdana Menteri dalam merangka belanjawan terbaik untuk rakyat melalui pandangan-pandangan dan cadangan kita, ini lebih elok,” katanya dipetik laporan Utusan.
Untuk rekod, ketegangan dalaman UMNO tercetus susulan isu berhubung perjanjian lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) antara Ismail Sabri dengan Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, UMNO juga masih menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung permohonan pindaan Perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan parti tersebut.
Kemelut berhubung isu perjanjian yang dimerterai dengan PN menyebabkan Ismail Sabri didesak supaya memberi penjelasan memandangkan ia tidak pernah dibincangkan diperingkat tertinggi UMNO, perkara itu disahkan tidak dibincang oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan sendiri baru-baru ini.
Ismail Sabri juga sedang berdepan desakan partinya sendiri agar membubarkan Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum (PRU) diadakan dengan segera.
Terdahulu, media melaporkan setakat ini lima pemimpin tertinggi UMNO masih belum duduk semeja untuk membincangkan tarikh PRU walaupun sebelum ini persetujuan sudah dicapai dalam resolusi semasa Perhimpunan Agung Khas yang lalu.
Hasni berkata tidak wajar mempertikai keikhlasan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dalam menjayakan resolusi PAU Khas UMNO 2022 pada 15 Mei lalu iaitu menyegerakan PRU-15.
Malah, katanya, ada pihak yang menganggap bahawa resolusi itu sebagai satu kegagalan Perdana Menteri yang tidak mengambil berat terhadap keputusan perhimpunan khas itu.
Sedangkan, Hasni berpendapat, UMNO mempunyai barisan pemimpin berpengalaman dan telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dengan menyedari cabaran-cabaran di hadapan, bermakna parti tidak ada pilihan melainkan mengambil pendekatan memperkuatkan UMNO dan mengukuhkan kerajaan.
“Saya tidak nampak apa yang dibuat oleh Perdana Menteri ini mencerminkan atau memberi gambaran bahawa Perdana Menteri tidak meletakkan kepentingan parti.
“Saya tidak mendengar bahawa Perdana Menteri akan mengagalkan apa juga bentuk komitmen yang diberi atau sokongan yang diberi terhadap Perhimpunan Agung Khas khususnya,” katanya lagi.