
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah. - Gambar FB Saifuddin Abdullah
Pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum dapat mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), antaranya cuaca dan para peniaga yang baharu dapat bernafas semula selepas bergelut dengan pandemik Covid-19.
Bagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, PRU-15 sepatutnya diadakan pada tahun depan kerana tidak lama lagi rakyat bakal berdepan musim banjir dan para peniaga baharu sahaja dapat mula berniaga semula selepas beberapa lama berdepan penularan Covid-19.
“Kalau tanya kami secara keseluruhannya, lebih sesuai kita jangka habiskan tempoh yang sedia ada, yakni sampai tahun depan.
“Ini dah hujung tahun dan kita bimbang banjir, selain itu kebanyakan orang yang berniaga, mereka baru mula (berniaga) selepas Covid-19, jadi kalau ada pilihan raya dalam suasana sekarang sedikit sebanyak mengganggu (perniagaan) mereka.
“(Dan) setakat yang saya tahu, teman-teman ahli Parlimen dan parti politik, majoritinya lebih cenderung supaya pilihan raya diadakan pada tahun depan,” katanya dipetik laooran media selepas menghadiri satu program di Kuantan hari ini.
Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Malaysia bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, yang sekali gus akan menyebabkan banjir besar pada penghujung bulan itu.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif dalam tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Sementara itu, para peniaga juga baharu sahaja dapat berniaga seperti biasa semula susulan kelonggaran diberikan kerajaan sejak berlaku penularan Covid-19 yang menjejaskan punca rezeki rakyat.
Bagaimanapun, UMNO nampaknya tidak sabar untuk terus mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan dengan segera.
Terbaharu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan satu perhimpunan raksasa dengan memanggil penyokong parti berkumpul di ibu kota bagi membuat desakan PRU-15 segera, ia susulan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Menurut laporan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu Ismail Sabri sebenarnya sudah berjanji untuk mengadakan PRU-15 pada tahun ini juga, menurut laporan media.
Penganalisis melihat langkah UMNO untuk mengadakan PRU-15 segera bertujuan untuk menyelamatkan kumpulan Kluster Mahkamah yang sedang berdepan pendakwaan ketika ini.