Bajet 2023 awal Oktober petanda PRU-15 hujung tahun ini: Laporan

August 26, 2022 · Politik

Walaupun sebab Bajet 2023 diawalkan daripada tarikh biasa yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada penghujung Oktober, tidak dinyatakan, penganalisis politik melihat tindakan itu adalah petanda besar bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diawalkan.

Ada yang berpendapat bahawa PRU-15 akan diadakan seawal November, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan sebarang kaitan pertukaran tarikh baharu Bajet 2023 dengan PRU-15 kerana ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Terdahulu, Wan Junaidi mengesahkan Bajet 2023 akan dibentang pada 7 Oktober depan, bukan kebiasaannya pada 28 Oktober setiap tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata ia satu perkara biasa dan pernah berlaku ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini apabila bajet dibentangkan pada September.

Pemerhati politik pula menyifatkan pembentangan Bajet 2023 yang diawalkan sebagai petanda besar bahawa PRU-15 berkemungkinan diadakan pada November depan.

Ada kemungkinan Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 itu selesai atau ketika Dewan Rakyat masih bersidang, dan perkara seperti ini memang pernah berlaku sebelum ini.

Penggal Parlimen ke-14 akan berakhir Julai tahun depan dengan PRU perlu diadakan sebelum September 2023.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat penukaran tarikh pembentangan itu juga adalah isyarat jelas bahawa PRU-15 akan diadakan tahun ini.

“Ia adalah petanda jelas PRU akan diawalkan dan kemungkinan akan diadakan selepas pembentangan bajet itu diadakan. Sekiranya ia berlaku, ia bukan perkara baharu kerana pada 1999, Parlimen juga dibubarkan sewaktu masih bersidang.

“Ketika itu berlaku reformasi selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu memutuskan PRU diadakan sebelum tempoh ia matang.

“Ketika itu, Dr Mahathir merasakan PRU perlu diadakan kerana berlaku perpecahan pengundi dalam kalangan penyokong Melayu tetapi sokongan pengundi bukan Melayu begitu ketara,” katanya menurut BH.

Mengulas lanjut, Sivamurugan menjelaskan sekiranya Parlimen dibubarkan, PRU-15 dijangka diadakan pada November selepas memberi ruang sekurang-kurangnya 60 hari kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat persediaan termasuk menyusun tarikh penamaan calon.

“Saya tidak jangkakan tarikh lain atau ia akan dilewatkan kerana negara dijangka diuji dengan kejadian (bencana) alam seperti banjir di Pantai Timur yang biasa berlaku pada setiap hujung tahun,” katanya.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Profesor Madya Dr Azmi Hassan dipetik sebagai mengakui tarikh pembentangan Bajet 2023 adalah petanda kepada PRU-15 dan akan menjadi perkara penting dalam menentukan tarikh sebenar PRU.

“Lazimnya, tarikh belanjawan akan dianjakkan ke belakang tetapi kali ini ia dipercepatkan ke depan pula. Apabila ia dibentangkan, lulus atau tidak, PRU-15 tetap akan diumumkan.

“Jika tidak cukup majoriti meluluskan Bajet 2023, ia akan memudahkan lagi Perdana Menteri membuat keputusan. Sekali pun ia lulus, ia tidak akan menyekat Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan Bajet 2023 akan menjadi sesuatu yang sukar untuk disokong oleh Dewan Rakyat, namun akan diluluskan dengan majoriti yang tipis.

Berita berkaitan
Ku Li bidas keputusan UMNO mahu PRU-15 semasa banjir ikut nafsu semata-mata
18 jam lalu· Politik
PAS aktifkan jentera pilihan raya selepas UMNO desak PM bubar Parlimen
18 jam lalu· Politik
Baik Zahid minta PM kerap buat mesyuarat ekonomi daripada PRU, kata pembantu Muhyiddin
September 30, 2022· Politik
MT UMNO bincang tarikh PRU malam ini, bubar selepas bentang Bajet 2023?
September 30, 2022· Politik
Popular
MT UMNO setuju bekerjasama dengan PAS hadapi PRU-15
September 30, 2022
4 faktor Agong boleh tolak nasihat PM bubar Parlimen: Pensyarah
October 1, 2022
Ini sebab mengapa UMNO, BN pilih PRU-15 musim tengkujuh, banjir
October 1, 2022
Tajuddin dan Ketua Bahagian Alor Setar digantung keahlian UMNO: Laporan
October 1, 2022
Lagi Politik terkini
‘Top 5’ UMNO kumpulan oligarki, kata Ahli Parlimen pembangkang
7 jam lalu · Politik
Warisan mula serang DAP, PKR: Shafie dakwa janji PH tak ditepati
7 jam lalu · Politik
Santhara, Xavier sertai PBM
9 jam lalu · Politik
Rakyat digesa mohon Agong tidak perkenan bubar Parlimen tahun ini
9 jam lalu · Politik
Ini sebab mengapa UMNO, BN pilih PRU-15 musim tengkujuh, banjir
9 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mesyuarat MKT UMNO putus 9 ketetapan
October 1, 2022
[VIDEO] 4 wilayah Ukraine jadi milik Rusia
October 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok