Bahaya pembangkang bekerjasama dengan UMNO jika mahu dominan

Perhimpunan Agung UMNO 2020

Blok pembangkang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO kerana hasrat mereka mahu menjadi parti dominan yang kelak akan mengancam semua parti, kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Pendirian tersebut dilihat berbeza dengan hasrat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih cuba mencari jalan untuk merealisasikan kerjasama dengan UMNO meskipun mendapat tentangan.

“Susah (kerjasama) sebab UMNO nak dominan, dia nak naikkan nama Barisan Nasional dan dia pun nak dominan dalam pakatan mereka supaya boleh menuntut dalam kepimpinan mereka,” kata beliau kepada Agenda Daily.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menyifatkan kemelut politik yang berlaku antara UMNO dengan parti-parti politik yang mereka jalin kerjasama ketika sebagai salah satu punca sebarang bentuk kerjasama dengan parti tersebut perlu dielak sama sekali.

“Kalau tidak, tidak akan berlaku seperti sekarang ini, dimana gabungan sekarang ini diasak dan diugut untuk dijatuhkan dan sebagainya. Jadi, tak ada makna lah dalam kerjasama seperti begitu rupa,” ujarnya.

Semalam dalam Perhimpunan Agung MIC, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut membidas hasrat UMNO yang mahu menjadi parti dominan untuk memegang tampuk kuasa dan parti-parti kecil lain terpaksa tunduk dengan mereka.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata dalam era politik baharu tidak ada parti politik yang boleh menjadi dominan sebaliknya mereka perlu bekerjasama antara satu sama lain.

Tegas Khalid lagi, budaya politik UMNO yang mahu menjadi dominan bertentangan dengan amalan parti politik dalam blok pembangkang dan matlamat utama mereka mahu menguasai kabinet semata-mata tidak boleh diterima sama sekali.

“Kecuali UMNO sendiri menolak yang dia perlu dominan. Kalau diterima kita untuk berpakat bersama dan kita akan bergerak atas dasar kesaksamaan parti-parti politik.

“Jadi anggota gabungan boleh lah berbincang… Tetapi berdasarkan apa yang disebut dia mahukan kabinet. Kedua budaya politik dia pun berbeza dengan kita. Itu pun masalah dia lebih sesuai dengan Bersatu. Dia dikira adik beradik, itu pun dia bergaduh dalam isu mahu jadi dominan,” katanya lagi.

Terdahulu, semasa Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu lalu, pimpinan parti itu dengan jelas menyatakan parti itu perlu berada dalam kedudukan dominan dalam kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.