Baharu Rafizi umum kembali berpolitik, pengikut setia Anwar sudah cemburu

Keputusan Rafizi Ramli kembali ke kancah politik nampaknya tidak disenangi seorang pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia walaupun baharu sahaja beberapa hari bekas Ahli Parlimen Pandan itu mengumumkan untuk aktif dalam politik negara.

Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dikenali sebagai seorang fanatik Presiden PKR itu seperti cemburu apabila Rafizi mengumumkan keputusan untuk kembali ke arena politik negara dan membidasnya supaya menyatakan cita-cita sebenarnya.

Farhash menyindir Rafizi sebagai seorang yang tidak boleh menerima keputusan yang dibuat secara kolektif dalam sesebuah parti dan mempersoalkan kewajarannya untuk kembali berpolitik sekarang ini.

“Maka dengan itu, ramai pihak merasakan Rafizi tidak mampu untuk menerima keputusan yang dibuat secara kolektif oleh pimpinan dan hanya dengan diberi kuasa mutlak sebagai presiden akan memuaskan hatinya,” katanya dalam kenyataan.

Kata Farhash lagi, Rafizi juga secara biadap menyatakan memilih untuk tidak bertanding jawatan Presiden supaya tidak menimbulkan kacau-bilau dan mengganggu mesej parti kepada umum.

“Persoalan penting yang harus dijawab adalah, adakah beliau merasa layak untuk menentang Anwar Ibrahim sebagai Presiden?

“Jika dirasakan begitu, gelanggang demokrasi ini dibuka seluasnya. Biar anggota PKR melihat wajah sebenar kerakusan kuasa yang sanggup membelakangkan kepimpinan parti,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan Rafizi bersikap jujur pada diri sendiri dan berhenti bermain politik murahan.

“Sebagai orang parti, beliau sewajarnya lebih beradab sejurus kembali ke gelanggang politik dan sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturannya agar tidak mengguris hati semua anggota PKR.

“Harus diingat, PKR merupakan sebuah parti yang cukup dinamik kerana ianya merangkumi suara seluruh lapisan masyarakat dan setiap keputusan parti perlu diterima secara berjemaah,” katanya.

Terdahulu, portal Malaysiakini melaporkan, Rafizi berkata beliau tidak mahu bertanding jawatan Presiden PKR yang disandang Anwar bagi mengelakkan perkara itu mengganggu perhatian awam kepada mesej-mesej parti itu.

Katanya, tindakan sedemikian akan mencetuskan keadaan kelam-kabut dan fokus akan beralih kepada pertandingan, bukan masalah rakyat, seperti isu kesihatan awam.

Pada 2019, Rafizi mengumumkan tidak akan kembali ke arena politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Nama Rafizi terkenal selepas mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan dihukum penjara 30 bulan tetapi dibebaskan kemudiaannya selepas kemenangan Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Untuk rekod, Rafizi sebelum ini mengumumkan persaraan daripada politik dan menumpukan kepada perniagaannya, namun selepas wujud perpecahan dalam PKR ditambah dengan kehadiran seteru baharu seperti orang kanan Anwar, Farhash menyebabkan terdapat desakan daripada penyokongnya untuk kembali aktif berpolitik semula.

BERITA BERKAIT
POPULAR