
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya akan menyokong anak muridnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden UMNO demi survival politik dan kerusi Perdana Menteri yang telah lama diidam-idamkan.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu dirinya seorang dipersalahkan terhadap kekalahan teruk UMNO-Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, malah meminta semua ahli parti itu muhasabah diri.
Presiden UMNO itu tidak mahu dipersalahkan atas pencapaian terburuk parti itu dalam sejarah tetapi mungkin sudah terlupa siapa yang beria-ria mendesak supaya Parlimen dibubarkan sebelum ini dan diadakan PRU-15 dengan segera.
Sekarang apabila kalah teruk, nampaknya Zahid tidak mahu memikul tanggungjawab tersebut sebaliknya tidak mahu dirinya dipersalahkan dalam kekalahan yang menimpa parti tersebut.
Jika tidak kerana desakan dan kegelojohan Zahid untuk mengadakan PRU-15, pastinya UMNO tidak terpaksa menanggung kekalahan memalukan dan sehingga terpaksa pula bekerjasama dengan musuh politiknya Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Adakah kenyataan Zahid itu cuba menunjukkan niatnya untuk terus kekal menjadi Presiden UMNO? Adakah dirinya masih lagi dalam mimpi dan berada dalam sindrom penafian?
Jika mempunyai maruah, sepatutnya Zahid mengikut jejak Datuk Seri Najib Razak yang meletak jawatannya sebelum ini selepas kalah dalam PRU-14 lalu tetapi sebaliknya yang berlaku mengheret UMNO pula untuk bekerjasama dengan musuh tradisi mereka sejak berdekad.
Sekurang-kurangnya Najib masih mempunyai maruah dan berani memikul tanggungjawab, bukan seperti Zahid yang menggunakan parti demi untuk menjaga jawatan Presidennya sehingga UMNO terpaksa membayar harga yang mahal apabila tidur sekatil dengan DAP.
Mungkin Zahid boleh menelan keputusannya itu tetapi tidak bagi akar umbi yang masih mempunyai maruah dan harga diri tidak mahu tunduk kepada musuh politik mereka yang diketahui akan merobek kepentingan orang Melayu dan Islam.
Sebelum PRU-15 lalu, Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa berdepan tekanan yang hebat daripada partinya sendiri apabila Zahid berterusan mendesak supaya PRU-15 diadakan segera.
Malah, terdapat spekulasi mengatakan Ismail Sabri menerima pelbagai ugutan dan ancaman sekiranya kehendak Zahid ketika itu mahu Parlimen dibubarkan tidak dituruti.
Tidak tahan dengan tekanan tersebut, Ismail Sabri kemudiaan membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15 pada ketika rakyat sedang berdepan bencana banjir dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Ternyata, langkah membubarkan Parlimen awal dan mengadakan PRU-15 ketika bencana alam sedang berlaku membawa musibah besar kepada UMNO apabila hilang banyak kerusi jika dibandingkan semasa PRU sebelum ini.
Malah, jika dibandingkan dengan keputusan PRU-14 lalu dengan pelbagai isu terpalit dengan kerajaan dipimpin Najib waktu itu, keputusan semasa Zahid menjadi Presiden UMNO adalah lebih teruk walaupun tidak banyak isu yang terpalit dengan parti itu.
Isu yang dikatakan menjadi faktor penolakan rakyat terhadap UMNO sebenarnya adalah kerana Zahid, ia merupakan punca utama mengapa rakyat menolak parti tersebut khususnya dikalangan orang Melayu.
Namun, Zahid nampaknya masih tidak mengendahkan apa yang berlaku semasa PRU-15 lalu dan merasakan dirinya betul sahaja.
Sikap ini yang menjadi punca penolakan pengundi Melayu-Islam yang melihat Zahid sebagai liabiliti, namun dek kerana sindrom penafian beliau enggan mengakui kelemahan dirinya sendiri.
Semalam, semasa satu sesi wawancara, Zahid masih cuba mempertahankan dirinya walaupun UMNO mengalami kekalahan teruk dan meminta pula supaya ahli akar umbi UMNO untuk terus kekal menyokong parti tersebut.
“Marilah kita muhasabah, melakukan kritikan kendiri tentang apa yang telah dilakukan, bukan dengan menuding jari kepada hanya seorang.
“Ramai yang bertanggungjawab, saya amat tahu bahawa apa yang berlaku adalah harga mahal yang terpaksa kita bayar atas tidak adanya penyatuan pemikiran,” katanya dipetik laporan Bernama.
Kenyataan Zahid ini dilihat sesuatu yang sangat lucu dan tidak masuk akal, bukankah sepatutnya yang muhasabah diri tersebut adalah dirinya sendiri yang menang majoriti 300 lebih sahaja di Bagan Datuk sebelum ini?