Bagaimana nak perang pertahan agama jika mengundi pun tak keluar

December 21, 2022 · Politik

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Abdul Hadi Awang bimbang bagaimana keadaan umat Islam Malaysia jika berdepan peperangan bagi mempertahankan agama dan tanah air, sekiranya dalam ‘perang’ memilih pemimpin dan kerajaan pun ada yang tidak keluar mengundi.

Beliau mengingatkan bahawa kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia dikerah untuk mengundi bagi mendapatkan kuasa di Malaysia dengan menyokong DAP dan kumpulan yang menjadi wadah perjuangannya, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja sendiri.

Malangnya, kata beliau, umat Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi, walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah, malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya.

“Jika tugas mengundi sebagai salah satu cara yang damai pun tidak ditunaikan kewajipannya bagi memenangkan dan mempertahankan Islam serta bukannya terpaksa berperang, maka akibatnya adalah lebih besar dan lebih parah.

“Keadaan ini dibimbangkan mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW,” kata Presiden PAS itu yang memetik ayat 15 dan 16 surah Al-Anfal.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu memuji anak muda yang tampil ke depan untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu walaupun mereka masih baharu dalam dunia politik.

“Syabas! Kepada anak muda yang tampil ke hadapan walaupun ada yang jahil agama, masih mentah umurnya, namun mereka mendapat hidayah Allah SWT, matang akalnya, sayangkan agama dan bangsa,” kata beliau lagi dalam kenyataan hari ini (21 Disember 2022) yang ditujukan kepada mereka yang tidak mengundi, khususnya kerana melaksanakan haji dan umrah.

Abdul Hadi mengingatkan bahawa Islam dilaksanakan kewajipannya secara fiqh (kefahaman yang betul) pada tiap-tiap rukun, cabang hukum dan amalannya, termasuk juga cara pelaksanaannya yang mengikut Fiqh al-Aulawiyyat (mendahulukan keutamaan).

Perkara ini, katanya sangat penting supaya ketinggian dan kemurnian Islam wajib dipelihara dengan baik, manakala pelaksanaannya pula dilakukan dengan istiqamah dan teratur tanpa terpesong ke kiri mahupun ke kanan.

“Rasulullah SAW dan para sahabat generasi awal merupakan teladan yang wajib diikuti, khususnya dalam melaksanakan petunjuk al-Quran secara amali dengan betul, berilmu dan penuh kefahaman. Antaranya, mendahulukan asas yang memelihara agama yang mulia wajib dipertahankan lebih dahulu berbanding perkara yang lain.

“Apabila Islam dalam keadaan bahaya, maka hukum jihad yang asalnya fardu kifayah bertukar menjadi fardu ‘ain dan hendaklah diutamakan. Hinggakan, para huffaz (penghafaz al-Quran) dalam kalangan para sahabat ramai yang gugur syahid, apabila berlaku peristiwa riddah (murtad) yang mengepung Islam ketika wafatnya Rasulullah SAW,” katanya.

Abdul Hadi turut mengingatkan bahawa wujud golongan tertentu yang melemparkan tuduhan bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam adalah semata-mata kerana mahu mendapat pangkat dan kedudukan yang lebih dalam kehidupan dunia.

Inilah tuduhan yang pernah dilemparkan kepada para anbiya’ pada zaman dahulu oleh kumpulan jahiliah, sebagaimana firman Allah SWT, katanya memetik ayat 23 dan 24 surah Al-Mu’minun.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islam mendahulukan pendekatan damai dalam pergerakannya kepada seluruh manusia, walaupun banyak halangan dan tipu daya yang menjadi amalan musuh Islam yang mesti dihadapi.

“Pendekatan damai melalui konsep demokrasi wajib diambil peluang oleh umat Islam secara fardu ‘ain ke atas tiap-tiap orang Islam dalam hukum jihad menegakkan Islam di tempat masing-masing.

“Hal ini demikian kerana, pilihan raya dan mengundi merupakan jalan bagi mendapatkan kuasa pemerintahan semula kepada Islam, maka ia menjadi wajib hukumnya,” katanya lagi.

Abdul Hadi menutup tulisannya dengan menyatakan kalimah ““Ya Allah ya Tuhanku! Aku telah menyampaikan. Ya Allah ya Tuhanku! Saksikanlah bahawa aku telah menunaikan kewajipanku.”

Popular
Identiti ‘Mr H’ rahsia dan tidak akan didedah, kata KPN
November 30, 2023
ULANG SIAR: Biodata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
August 20, 2021
Dua kem UMNO berbeza di Sabah, kumpulan pro Hajiji dan Bung Moktar
November 29, 2023
Pernah kalah sebelum ini, Asyraf masih yakin dapat jadi calon pada PRU-15
October 28, 2022
Lagi Politik terkini
Kes saman fitnah: Ramasamy sudah bayar Zakir RM1.52 juta
2 jam lalu · Politik
Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC
2 jam lalu · Politik
Identiti ‘Mr H’ rahsia dan tidak akan didedah, kata KPN
21 jam lalu · Politik
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
November 29, 2023 · Politik
Wahab sudah sahkan identiti ‘Mr H’ didakwa dalang rakaman tular
November 29, 2023 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Litar lumba projek terbengkalai BN, bukan projek Sanusi
7 jam lalu
[VIDEO] Ucapan Tuan Ibrahim di ceramah PAS Gong Limau
13 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok