Azlan tak takut berdepan kem Shahidan

Dua daripada tiga bahagian UMNO Perlis menolak Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sedia berdepan dengan kem yang menentang pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Bagaimanapun, pertemuan itu akan mengambil masa dan beliau tidak akan tergesa-gesa untuk bertemu UMNO Bahagian Padang Besar dan Arau untuk merapatkan saf, katanya.

Azlan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggantikan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Susulan itu, dua daripada tiga bahagian UMNO di Perlis – Arau dan Padang Besar – menolak kepemimpinan Azlan selain mendesak Zahid mengembalikan jawatan itu kepada Shahidan.

‘Perang’ antara kem Shahidan dan Azlan sudah bermula sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.

Malah pada 24 Mei 2018 Azlan yang baharu sahaja mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis, dipecat sebagai ahli UMNO berkuatkuasa serta-merta.

Shahidan yang ketika itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, mengumumkan keputusan pemecatan itu diputuskan sebulat suara UMNO Perlis.

Mengulas lanjut, Azlan berkata beliau akan bertemu dengan seluruh akar umbi UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar untuk memberi penjelasan dan merapatkan semula saf UMNO Perlis yang dilihat berpecah kepada beberapa kem.

Ditanya sama ada beliau sedia bekerjasama dengan Shahidan semula untuk memantapkan jentera UMNO Perlis di ketiga-tiga bahagian Kangar, Arau dan Padang Besar, Azlan berkata, beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dan sentiasa mengamalkan sikap terbuka.

“Tak perlulah saya nak beri nasihat kerana dia (Shahidan) lebih berpengalaman daripada saya dan saya menghormatinya sebagai pemimpin yang sudah lama mengetuai kerajaan negeri dan UMNO Perlis. Jadi, Datuk Seri Shahidan dan pemimpin lain sudah tentu lebih arif dan mempunyai kebijaksanaannya sendiri,” katanya.