Asyraf Wajdi dakwa Zahid jadi sebab Ismail Sabri dilantik sebagai PM

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi Perdana Menteri (PM) disebabkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memiliki jiwa besar sebagai presiden parti.

“Datuk Seri Ismail Sabri, Naib Presiden Kanan UMNO menjadi Perdana Menteri… itu pun atas jiwa besar presiden… yang tidak mahu pegang jawatan Ketua Pembangkang. Sebab tahu beliau ada isu yang perlu ditangani terlebih dahulu,” katanya pada penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO hari ini.

Asyraf bagaimanapun, tidak menjelaskan apakah isu yang perlu Zahid tangani terlebih dahulu, namun ia dipercayai merujuk kepada 87 pertuduhan jenayah di dua Mahkamah Tinggi, yang turut membabitkan rasuah, dan pengubahan wang haram berjuta-juta ringgit, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Menurutnya langkah yang diambil oleh Zahid telah membuka jalan kepada Ismail Sabri untuk menjadi Ketua Pembangkang sebelum dilantik menjadi menteri kanan.

“Itu yang membuka jalan kepada Datuk Seri Ismail Sabri untuk menjadi ketua pembangkang kemudian menjadi menteri kanan… kemudian. Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya Perdana Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, umum mengetahui pelantikan Ismail Sabri sebagai PM kesembilan ditunjukkan oleh Perikatan Nasional (PN) diterajui bekas PM Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan setelah dikhianati Zahid dan 14 Ahli Parlimen UMNO.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata PN sebulat suara bersetuju mencalonkan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri yang baharu secara bersyarat.

Katanya sokongan itu diberikan oleh 50 Ahli Parlimen daripada parti-parti gabungan PN iaitu 31 Bersatu, 18 Pas dan satu daripada STAR serta empat Bebas.

“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” kata Muhyiddin.

Pada masa sama Asyraf Wajdi turut menyindir beberapa pihak di dalam UMNO yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan ingin bercuti dan berehat, tetapi sebaliknya kini ingin kembali di tengah gelanggang selepas melihat kejayaan parti itu.

“Jangan jadi tukang cucuk… jangan jadi tukang kipas. Apabila dah ok mahu kembali semula… yang dalam kubur pun bangkit juga. Yang dulunya senyap… yang dulunya takut, yang dulunya kononnya nak berehat… nak cuti sekejap

“Bila kita telah bangkit.. nampak cahaya di hujung terowong. Mula pasang niat.. mula pasang niat nak bangkit kembali juga. Tapi kembali daripada kubur. Kembali daripada bercuti yang nak bertanding ketua bahagian… ramai. Nak bertanding timbalan ketua bahagian pun ramai. Nak bertanding naib ketua bahagian pun ramai,” sindir Asyraf Wajdi.

Beliau juga mendedahkan masih ada sekelompok pihak yang cuba melaga-lagakan pemimpin atasan dengan mewujudkan kluster dan kabilah tertentu di dalam UMNO.

“(Ada yang) nak mewujudkan kluster-kluster, nak mewujudkan kabilah-kabilah. Nak porak-perandakan kesepaduan kita. Hari ini sahaja saya terima macam-macam nombor. Macam-macam poster, macam-macam infografik.

“Seolah-olah kita di PAU ini akan ada dua gerakan besar. Gerakan perdana menteri, gerakan presiden parti,” katanya menjelaskan keadaan itu berlaku kerana ada ahli UMNO yang mahu pemilihan parti diadakan sebelum PRU, dan satu pihak lagi mahukan PRU terlebih dahulu.

BERITA BERKAIT
POPULAR