
Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekali lagi menolak desakan pemimpin politik supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera, sambil menjelaskan bukan rakyat yang membuat gesaan itu, selain isu Covid-19 yang belum selesai.
Ahli Parlimen Rembau itu mengingatkan bahawa negara kini masih berada pada fasa peralihan endemik, belum memasuki fasa endemik untuk membenarkan aktiviti tanpa kawalan kesihatan, termasuklah ceramah besar-besaran.
Malah, beliau mengatakan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengenai Covid-19 telah tamat sebagai tidak tepat dan tidak berasas sama sekali, selain faktanya juga salah.
Sambil menyifatkan desakan mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat sebagai desakan politik semata-mata, Khairy berkata rakyat tidak pula mendesak diadakan PRU-15 segera.
Menurutnya Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih dikuatkuasakan dan pelaksanaan PRU-15 dalam masa terdekat hanyalah desakan ahli politik yang tidak memikirkan soal kesihatan rakyat.
“Saya sebagai Menteri Kesihatan masih mengisytiharkan Malaysia sebagai kawasan pandemik Covid-19 dan dalam fasa peralihan endemik, maksudnya kita masih lagi adakan beberapa sekatan seperti memakai pelitup muka.
“Kalau nak jaga kesihatan awam, kita tunggu beberapa bulan lagi hingga ke fasa endemik dan saya lebih selesa (PRU-15 diadakan) sebagai Menteri Kesihatan pada waktu itu.
“Lagipun tiada desakan daripada rakyat, sebaliknya lebih kepada ahli politik,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri di Banda Hilir di Melaka, hari ini.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dikeluarkan Asyraf Wajdi yang konsisten mendesak pelaksanaan PRU-15 dengan alasan mandat rakyat harus dikembalikan.
Antara hujah dikemukakan Asyraf Wajdi ialah pandemik Covid-19 secara rasmi berakhir pada 1 Mei 2022 apabila kerajaan mengumumkan negara memasuki fasa endemik dan rakyat sudah mencapai imunisasi berkelompok.
Sementara itu, memetik Utusan Khairy berkata fasa peralihan endemik merupakan tempoh kritikal untuk memastikan tiada sebarang gelombang serius tercetus sebelum negara memasuki fasa endemik.
Katanya, hujah yang dilontarkan Asyraf Wajdi itu juga secara terang-terangan salah dan tidak berasas.
“Asyraf Wajdi sahabat saya, tetapi fakta kenalah betul, dia sebut pandemik dah tamat di Malaysia itu tak betul. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan umumkan nanti bahawa Covid-19 ini bukanlah sesuatu health emergency of international concern.
“Masa itu kita juga akan buat pengumuman bahawa tidak lagi menggunakan Akta 342, kini kita masih lapor kes harian Covid-19 kerana gelombang masih datang dan pergi, jadi kita masih lagi bersikap berhati-hati,” katanya.
Untuk rekod, desakan supaya PRU-15 diadakan segera hanya datang daripada Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, manakala parti-parti lain menggesa Parlimen dibubarkan sehingga tamat penggal pada tahun depan.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara dengan sebuah akhbar kewangan Jepun, Nikkei Asia sebelum ini membayangkan PRU-15 tidak akan disegerakan sebaliknya kerajaan beliau akan menumpukan terlebih dahulu usaha memperkukuhkan semula ekonomi negara dan rakyat.