Asyraf akan lawan Zahid jika bekerjasama dengan Anwar? Berani ke?

Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi dilihat senada dengan beberapa pemimpin veteran parti itu dalam memberi amaran kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berhubung kerjasama dengan pembangkang.

Dalam kenyataan di Facebook (FB) hari ini, Asyraf berkata Zahid sendiri tidak boleh mengubah keputusan Majlis Tertinggi (MT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tiada siapa boleh ubah pendirian PAU dan MKT yang sudah memutuskan tidak akan bersetuju untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, hatta presiden parti,” tulisnya.

Asraf kini dicabar untuk menyatakan pendirian susulan pendedahan beberapa media berhubung pengakuan Zahid terhadap ketulenan klip audio tular dan surat sokongan kepada Anwar yang dihantar ke Istana Negara semasa pertemuan dengan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz juga menegur Asraf supaya bersubahat dengan penipuan yang sedang dilakukan Zahid.

Semalam, Asyraf berjanji akan melawan sebarang usaha pembentukan jajaran baharu bersama presiden PKR dan DAP.

“Saya orang pertama akan menentang kalau parti nak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri (PM) ataupun mewujudkan Kerajaan DAP-PH Lead Government.

“Ini bertentangan dengan pendirian keseluruhan Pemuda 191 Bahagian dan keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan MKT (Majlis Kerja Tertinggi). So jangan cipta persepsi bukan-bukan!,” katanya membalas kenyataan Tun Faisal.

Namun, Asraf berkata walaupun klip audio dan surat sokongan tersebut sudah disahkan ketulenannya, Zahid tidak mungkin akan dapat mengubah keputusan yang ditetapkan dalam PAU pada Mac lalu.

“Malah jika benarpun surat yang ditular atau audio perbualan dengan Anwar, apakah ia telah merubah pendirian UMNO yang hanya boleh diputuskan oleh Perwakilan di PAU atau MKT?” katanya lagi.

Terdahulu, pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz memberi amaran kepada Zahid supaya berhenti melaga-lagakan ahli MT dengan Ahli-Ahli Parlimen (MP) parti itu.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas memberi amaran demikian kerana ia akan memecahbelahkan UMNO dan merugikan rakyat.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan untuk mendesak MP UMNO dan BN keluar daripada kerajaan PN, ini sangat tidak wajar… negara sedang berdepan krisis Covid-19, kenapa sekarang nak ambil tindakan seperti ini?

“Jika Zahid masih berterusan macam ini, saya akan lawan dia… saya akan lawan dalam Parlimen nanti,” kata Nazri lagi.

UMNO dijadualkan mengadakan mesyuarat MT hari ini dan bakal memuktamadkan keputusan sama ada MP UMNO akan kekal dalam kerajaan PN atau sebaliknya.

Bagaimanapun sumber parti memberitahu kemungkinan besar Zahid akan cuba mendesak MT membuat ketetapan supaya MP UMNO yang berjawatan perlu meninggalkan kerajaan PN.

BERITA BERKAIT
POPULAR