
Sanusi kini makin dikenali di peringkat nasional.
Serangan demi serangan yang dibuat pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor nampaknya melonjakkan lagi populariti Menteri Besar Kedah itu di peringkat nasional.
Malah beliau juga diangkat sebagai sebagai ahli politik paling bernilai atau Most Valuable Politician (MVP) oleh bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin melalui siaran podcast Keluar Sekejap, baru-baru ini.
Khairy yang juga bekas menteri kesihatan menyifatkan sikap taksub dalam kalangan pemimpin PH terhadap Sanusi secara tidak langsung menjadikan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu semakin terkenal di peringkat nasional termasuk di media-media sosial.
Meski diserang dari setiap peringkat dengan pelbagai dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) ini dilihat mampu menangkis serangan dengan fakta dan jawapan yang jelas.
Penganalisis politik dari University Tasmania Australia, James Chin berkata Sanusi menjadi individu berprofil tinggi disebabkan beliau sering mengeluarkan kenyataan yang dianggap kontroversi.
Katanya, situasi ini menarik perhatian ramai, menyebabkan namanya sering terpampang di laporan media hampir setiap hari.
“Sudah tentu pihak lawan iaitu PH dan Barisan Nasional (BN) akan bertindak balas ekoran kehadiran media yang ramai untuk menyerang beliau.
“Ini sebenarnya bukan soal populariti, selagi beliau boleh tarik perhatian media, orang ramai akan terus bercakap dan juga menyerang beliau,” katanya lapor MalaysiaNow.
Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN mula membuat kemunculan sulungnya dalam dunia politik apabila beliau bertanding di kerusi DUN Belantek pada 2008 namun tewas kepada Mohd Tajuddin Abdullah yang mewakili BN dengan majoriti tipis 252 undi.
Selepas itu, beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada menteri besar Kedah pada ketika itu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sehingga 2013 sebelum dipilih sebagai ADUN Jeneri pada 2018.
Kemudian pada Mei 2020, Sanusi memegang jawatan Menteri Besar Kedah apabila PAS berpendirian untuk menyokong PN sekali gus menyaksikan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Pada 2021, nama Sanusi mula menarik perhatian apabila beliau sering berbalah dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung topik bola sepak menjadikan nama kedua-dua individu itu sering menjadi tajuk berita.
Selepas topik itu reda, nama Sanusi masih menjadi sebutan ramai meskipun selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada November tahun lepas ekoran beberapa siri kenyataan yang dibuat oleh pemimpin itu.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata kelantangan Sanusi menampakkan beliau sebagai antara pemimpin PN yang paling menyerlah terutama jika dibandingkan dengan menteri besar mewakili gabungan parti politik itu di Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Walaupun Sanusi dianggap sebagai seorang individu yang ‘bising’, Jeniri juga menyifatkan tingkah laku pemimpin itu sebagai normal memandangkan beliau mewakili parti yang kini merupakan pembangkang di peringkat pusat.