Asraf sahkan rakaman audio tular Zahid sokong DAP, Anwar

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto kredit Facebook Asraf Wajdi

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan kewujudan rakaman audio yang tular melibatkan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang memberi taklimat kepada pemimpin parti tentang kerjasama bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Ketua Pemuda UMNO itu bagaimanapun menjelaskan tidak ada sebarang mandat diberikan kepada mana-mana pimpinan tertinggi parti untuk membuat rundingan dengan blok pembangkang bagi menjalinkan kerjasama.

“Jawapannya tidakā€¦ kalau mandat sudah tidak ada maka apakah perundingan itu ada makna atau tidak? Tidak ada mandat, tidak pernah dibincangkan dan saya sebagai kepimpinan tertinggi parti yang ada dalam Jawatankuasa Pengurusan, Biro Politik dan juga MKT tapi tidak ada sekalipun kita membincangkan soal untuk memberikan mandat kepada sesiapa untuk berunding dengan Anwar Ibrahim atau dengan DAP,” kata beliau yang dipetik dalam portal UMNO-Online.

Asraf berkata tentang rakaman audio yang tular melibatkan Ahmad Zahid, rundingan tersebut tidak memberikan sebarang signifikan terhadap polisi dan dasar UMNO terhadap kerjasama dengan pembangkang kerana sebarang keputusan perlu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

“Oleh itu jika timbul tular katakan ada suara, audio yang kononnya orang-orang tertentu pun apa salahnya kerana perundingan itu hanya omongan kosong yang tidak membawa apa-apa makna kerana parti perlu membuat keputusan yang hanya dibuat dalam MKT,” katanya lagi.

Sebelum ini, tukar satu rakaman audio dengan suara mirip Ahmad Zahid dipercayai sedang memberi taklimat kepada pemimpin parti tentang kerjasama bersama musuh politiknya, Pakatan Harapan (PH).

Dalam audio berdurasi kira-kira satu setengah minit itu, suara yang mirip kepada Ahmad Zahid dipercayai merujuk kepada perbualannya dengan Ahli Parlimen Teluk Intan dan Timbalan Setiausaha agung DAP Nga Kor Ming.

“Saya bagitahu Nga Kor Ming, empat perkata dalam Perlembagaan mesti you ikut. Satu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dia buat kenyataan media,” kata suara itu.