Armand mahu tonjol diri menjelang pemilihan UMNO, kata Faiz Na’aman

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman menganggap Bersatu tidak perlu melayan tuntutan UMNO berkaitan isu 'binatang politik'.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan memorandum yang dihantar UMNO supaya Bersatu mengambil tindakan terhadapnya hanya gimik dan retorik untuk menonjolkan diri semata-mata.

Beliau berpendapat Bersatu tidak perlu menyiasat atau mengambil tindakan terhadapnya kerana beliau tidak melanggar disiplin parti atau undang-undang negara.

“Memorandum itu sekadar gimik dan retorik pihak yang memanipulasi isu untuk menonjolkan diri menjelang pemilihan parti mereka yang dijangka sudah dekat.

“Tiada keperluan untuk menasihati saya dalam isu ini kerana saya menjalankan peranan membidas musuh parti sama ada di luar atau di dalam kerajaan seperti ‘kluster mahkamah’ itu,” katanya dipetik daripada laporan FMT hari ini.

Faiz mengulas memorandum yang dihantar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Armand Azha Abu Hanifah supaya beliau dikenakan tindakan oleh Bersatu susulan kenyataan menyifatkan pemimpin daripada kluster mahkamah sebagai ‘binatang politik’.

Kluster mahkamah lazimnya merujuk kepada pemimpin UMNO yang berdepan kes di mahkamah kerana melakukan pecah amanah, menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat berkaitan kerajaan berjumlah jutaan ringgit.

Antara pemimpin UMNO yang kini berdepan kes mahkamah ialah:

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga sedang dibicarakan atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya daripada Najib, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sekarang ini mengemukakan rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah menerima suapan sebanyak RM2 juta.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad juga berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN.