
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
PKR dan DAP juga dicabar untuk mendedahkan butiran perbelanjaan dan sumber kewangan mereka semasa berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kedua-dua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) itu juga mewah berbelanja semasa kempen PRU-15 lalu, malah banyak mengadakan program hiburan, poster besar dan juga sewa helikopter digunakan pemimpin mereka.
“Adakah PKR dan DAP berani mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan mereka khususnya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?
“Kita lihat tidak kurang juga bahan kempen yang digunakan termasuklah mengadakan program hiburan, penggunaan helikopter mewah persendirian oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Machang itu juga menyeru semua penyokong Perikatan Nasional (PN) agar tabah dan bersabar serta tidak tunduk kepada desakan dan tekanan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
Katanya, ini kerana Armada Bersatu percaya bahawa rakyat dapat menilai dan membuat pemerhatian yang sewajarnya.
“Bermula dengan tuduhan bahawa kononnya PN menerima dana dari tauke judi, kepada tuduhan penyelewengan RM600 billion, ternyata bahawa kesemua tuduhan ini tidak pun dapat dibuktikan sehingga ke hari ini.
“Sebaliknya semua ini bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan demi kegagalan kerajaan ini yang saban hari semakin menampakkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah kerajaan yang berkesan.
“Ia juga dibuat untuk menutup amalan keji nepotisme di dalam pentadbiran pada hari ini, disamping terus dihantui oleh kes-kes mahkamah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan berhubung siasatan melibatkan kempen pada PRU-15 lalu.