
Calon Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainuddin bertemu orang ramai di sekitar DUN Kubu Gajah dalam kawasan Parlimen Larut malam tadi (14 November 2022).
Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendedahkan bahawa Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan datang ke rumahnya pada 2019 lalu untuk ‘meminta tolong.
Tanpa menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan ‘meminta tolong’ itu, Hamzah yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Larut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, dipetik sebagai berkata:
“Kalau dia kata Perikatan Nasional berlagak bersih, saya nak media tanyakan pada Mat (Mohamad) Hasan, ada tak pada April 2019 Tok Mat datang ke rumah saya minta tolong. Itu sahaja soalannya supaya dia boleh jawab.”
Hamzah mengulas kenyataan Mohamad semalam bahawa Perikatan Nasional adalah parti yang ‘berlagak suci’ tetapi pernah bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 lalu.
Setiausaha Agung Bersatu itu berkata beliau tidak mahu membangkitkan perkara yang bukan-bukan membabitkan Tok Mat Hasan, justeru, meminta Timbalan Presiden UMNO itu juga agar tidak mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Bersatu.
“Jadi janganlah bangkitkan isu-isu yang seolah-olah memberi persepsi umum bahawa Perikatan Nasional ini adalah sebuah parti sama macam BN,” katanya ditemui selepas hadir pada kenduri rakyat Pondok Daerah Mengundi (PDM) Sungai Rambutan, malam tadi (14 November 2022), menurut BH.
Beliau berkata Perikatan Nasional meletakkan calon yang bersih dalam PRU-15 manakala BN pula ada meletakkan calon yang mempunyai masalah termasuk mereka yang terlibat dalam kes di mahkamah.
“Sepatutnya orang yang bermasalah itu tidak menjadi calonlah. Itu perbandingan antara BN dan Perikatan Nasional,” katanya.
Menurut Hamzah, tindakan Tok Mat mengkritik Perikatan Nasional memperlihatkan UMNO mula berasa takut kepada gabungan itu susulan gelombang sokongan yang semakin meningkat sehingga terpaksa mengada-adakan cerita yang bukan-bukan.
“Presiden dia sendiri yang bercakap dalam program bersama MIC, Tok Mat Hassan akan ‘masuk dalam’, bukan kita (Perikatan Nasional) yang cakap.
“Kalau betul Tok Mat akan masuk dalam, apa kesnya. Jadi kita cuma nak peringatkanlah dia,” katanya lagi
Mengulas mengenai dakwaan Nga Kor Ming negara akan menjadi ‘Taliban’ sekiranya Perikatan Nasional berkuasa, Hamzah berkata, ketua DAP Perak itu sebagai ‘cetek pemikiran’.
Malah, beliau tidak akan teragak-agak membuat laporan polis sekiranya kenyataan itu mencetuskan rusuhan kaum.
“Saya rasa dia seorang yang cetek pemikirannya, kerana dia hanya membakar semangat kumpulan tertentu nak menakut-nakutkan golongan tertentu.
“(Sekiranya) ada perkara-perkara yang membabitkan rusuhan atas sifat beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya akan buat laporan polis dan saya minta supaya polis mengambil tindakan,” katanya.
Nga semalam mendakwa dasar ‘pelampau’ yang diketengah PAS mengenai perjudian, arak, konsert dan pengasingan lelaki dan wanita sememangnya mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.
Katanya, dasar berkenaan akan ‘menceroboh’ kebebasan orang bukan Islam serta membawa kepada penghijrahan pelabur asing yang secara langsung memberi kesan kepada ekonomi.