
Pada 15 Mac 2016, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang ketika itu Peguam Negara berkata Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.
Tan Sri Sri Mohamed Apandi Ali disifatkan mahkamah sebagai seorang yang tidak menunjukkan sikap tidak berminat dan tidak kisah terhadap kedaulatan undang-undang yang asas dan akal yang wajar (common sense).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan penghakiman 100 halaman penuh pada Khamis berhubung kes saman bekas Peguam Negara itu terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyaksikan Apandi kalah dalam saman tersebut dan diarah membayar RM80,000 kepada defendan.
Perkara itu dilihat Hakim Datuk Azimah Omar ketika Apandi berulang kali disoal oleh peguam Kit Siang berhubung tindakan membersihkan Datuk Seri Najib Razak daripada kesalahan, dengan menerima hujah yang wang RM2.6 bilion yang diterima bekas Perdana Menteri itu adalah daripada kerabat diraja Arab Saudi.
“Walaupun dengan penuh hormat, mahkamah perlu menyatakan rasa cemuh terhadap keterangan bertentangan oleh plaintif, sikap mengelak dan kenyataan tidak benar.
“Ia bukanlah sains roket untuk memahami isu RM2.6 bilion (yang diisytihar Apandi sebagai derma) adalah teras kepada kesnya sendiri.
“Ia satu kelalaian besar jika plaintif menggunakan kesempatan di mahkamah, tanpa benar-benar berterus-terang dan bersedia sepenuhnya untuk menjustifikasikan keputusannya memilih naratif derma untuk membebaskan Najib,” kata hakim seperti dipetik laporan The Edge.
Dalam penghakimannya, Azimah juga berkata Apandi juga memberi keterangan bertentangan dengan kenyataan sebelumnya ketika ditanya peguam berkenaan sidang medianya pada 2016, di mana dia menerima naratif derma dan membersihkan Najib daripada kesalahan.
“Kenapa Apandi berkata tidak benar tentang pertemuan dan rakaman keterangan oleh pihak didakwa sebagai penderma?
“Mengapa bekas peguam negara mengisytiharkan kepada dunia yang delegasi bertemu penderma (dan mendapatkan pengesahan daripadanya), walaupun dia tahu yang delegasinya tidak bertemu atau bercakap pun dengan (penderma)?
“Mahkamah benar-benar bingung dengan keterangan plaintif yang mengakui mengambil naratif derma secara keseluruhannya, walaupun tanpa bukti langsung dan lebih cenderung kepada bukti khabar angin delegas.
“Di situ jelas keterangan Apandi sendiri menunjukkan sikap tidak berminat, mengelak dan berlepas diri (disassociate) untuk menyiasat derma dengan lebih lanjut,” katanya lagi.
Apandi menyaman Kit Siang berhubung artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” yang diterbitkan dalam blognya pada 2019.
Azimah berkata Kit Siang ada justifikasi untuk membangkitkan isu tersebut, terutama susulan sabitan terhadap Najib dalam kes rasuah RM42 juta SRC International.
Mahkamah ketika itu mengarahkan Apandi membayar RM80,000 sebagai ganti rugi kos kepada Kit Siang.