Selepas MoU tak disambung, adakah UMNO mahu PM bubar Parlimen?

Keputusan muktamad sudah dibuat UMNO untuk tidak menyambung memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang yang ditandatangani tahun lalu dan bakal berakhir Julai nanti.

Langkah tersebut secara tidak langsung mengikat Perdana Menteri (PM) untuk tidak lagi berunding dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang selama ini menyokongnya di Parlimen, ia terbukti apabila tiada usul tidak percaya pernah dibawa terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepanjang sidang Dewan Rakyat.

Tidak boleh dinafikan, MoU tersebut memberi kestabilan terhadap kerajaan sedia ada dan Ismail Sabri berjaya mengelak daripada berdepan usul tidak percaya seperti yang didesak pembangkang sebelum ini terhadap kerajaan mantan PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, MoU tersebut sebaliknya tidak memberi kelebihan kepada PH apabila penyokongnya sendiri sudah beralih sokongan kerana tindakan yang lebih rela duduk bersama kerajaan dipimpin UMNO.

Tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan menyaksikan PH tersungkur, lebih teruk sehingga gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Paling beruntung adalah UMNO hasil daripada MoU tersebut, parti yang hampir tenggelam kini beransur-ansur pulih dan semakin kuat. Malah, sekiranya diadakan PRU-15 dalam masa terdekat sekalipun kemenangan besar dijangka menjadi milik mereka.

Keputusan PRN Melaka dan Johor sudah cukup menyakinkan UMNO untuk berdepan PRU-15, faktor perpecahan sesama pembangkang dan sikap pengundi yang sudah tidak mempercayai janji dibuat mereka menyumbang kepada punca kekalahan.

Jika diadakan PRU-15 dalam keadaan pembangkang lemah dan tidak bersedia, sudah pasti UMNO akan beroleh kemenangan yang besar dan tidak mustahil meraih dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, satu-satunya jalan untuk membebaskan Kluster Mahkamah dalam UMNO yang sedang berdepan puluhan pertuduhan juga adalah menerusi PRU-15 kerana hanya dengan kuasa mutlak sahaja pendakwaan dapat digugurkan.

Jika alasan mengadakan PRU-15 untuk kestabilan politik dan ekonomi, ia hanyalah sekadar rekaan cerita untuk mengaburi mata rakyat walhal realitinya ia bertujuan untuk melepaskan semua pemimpin UMNO yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah ketika ini.

Berbalik semula kepada MoU yang dimerterai dengan pembangkang dan kerajaan, apakah yang akan jadi selepas MoU tidak disambung?

Ismail Sabri juga seakan menerima bulat-bulat keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO, malah kenyataannya sebelum ini yang seakan tunduk kepada keputusan dibuat partinya menimbulkan pelbagai spekulasi dikalangan ketua parti yang lain.

Bagaimana selepas berakhir MoU tersebut, MT UMNO kembali bermesyuarat dan kemudiaannya mengumumkan keputusan mendesak Parlimen dibubarkan, adakah ia bakal dituruti juga?

Berdasarkan tindak-tanduk awal, tidak mustahil Ismail Sabri juga akan mengikuti keputusan partinya kerana sebelum itu juga sudah patuh dengan keputusan parti tidak menyambung MoU dengan pembangkang.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan tidak akan berhenti mengatur langkah seterusnya, bahkan beliau lebih bijak daripada cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat tidak lagi berpengaruh dan berbisa semasa era reformasinya.

Apabila PRU-15 diadakan, peluang sebenarnya sama rata untuk seseorang menjadi PM dan ia tertakluk kepada janji yang dibuat sebelum itu, malah Zahid juga mempunyai peluang untuk dilantik menjadi pemimpin nombor satu negara.

Tiada jaminan Zahid mengotakan janjinya, bayangkan apabila cikgunya sendiri, Anwar pun boleh terduduk kena dipermainkan anak muridnya itu.

Yang pastinya, PRU-15 semakin hampir dan berkemungkinan ia bakal diadakan selepas Julai tahun ini juga sejurus MoU tidak disambung. UMNO yang sedang kuat dan bernafsu untuk menang besar pasti tidak akan melepaskan peluang yang terhidang untuk meneruskan kemaraan sama seperti di Melaka dan Johor.

Kemenangan di Melaka dan Johor bakal menjadi pemangkin kepada UMNO untuk meneruskan kemaraan dan meraih kemenangan dengan lebih bergaya pada PRU-15 nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR