
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz.
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz menyanggah pendapat Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil mengatakan masa bekas Perdana Menteri itu sudah berlalu.
Menyifatkan Dr Mahathir sudah hilang sokongan setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Nazri berkata Anwar perlu diberi peluang untuk memimpin dan memulihkan ekonomi negara.
“Masa beliau (Dr Mahathir) sudah berlalu. Cukup-cukup lah, beri peluang kepada Anwar untuk memimpin dan memulihkan ekonomi negara.
“Apa lagi beliau (Dr Mahathir) mahu? Sudah kalah teruk dan hilang deposit di Langkawi baru-baru ini. Semua calon parti dia kalah dan hilang deposit, sudahlah, cukup. Bantu pemimpin muda pulihkan ekonomi negara.
“Saya sendiri sudah tidak percaya dan tidak yakin lagi dengan Dr Mahathir, semua orang beliau anggap tidak betul, hanya dia sahaja yang tahu mentadbir dan memerintah.
“Anwar baru sebulan lebih jadi Perdana Menteri, jangan cepat sangat nak buat penilaian, bagi lah sedikit masa untuk beliau buktikan,” katanya menurut Awani.
Nazri juga menyanggah dakwaan Dr Mahathir bahawa ketika diberi peluang menjadi pemangku perdana menteri lebih 24 tahun yang lalu, Anwar gagal tidak dapat menangani masalah.
Menurutnya biarpun bercuti ketika itu, namun Anwar tidak diberikan kuasa, sebaliknya Dr Mahathir masih mengawal pentadbiran.
“Saya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu dan bercakap dengan Anwar, beliau tidak mempunyai kuasa biarpun ditugaskan sebagai pemangku perdana menteri.
“Benar Dr Mahathir bercuti di luar negara, tetapi beliau tetap mengawal pentadbiran negara dan bukannya memberi kuasa kepada orang lain.
“Semua orang tahu dan anggap Dr Mahathir sebagai diktator, beliau tidak akan beri kuasa kepada orang lain, cakap ‘beri kuasa’ itu semua menipu.
“Jadi macam mana Anwar mahu selesaikan masalah kalau tidak diberi kuasa, masih dikawal pihak lain?” katanya lagi.
Dalam temu bual eksklusif dengan Berita Harian, Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya mengenai kemampuan Anwar untuk berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.
Kata Dr Mahathir, ini berdasarkan pandangannya terhadap prestasi Anwar sebagai menteri kewangan lebih 20 tahun lalu.