
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya semua pihak bertenang dan tidak patut berlaku “keriuhan” selepas keputusan kerajaan campuran menarik balik rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah baru-baru ini.
Perdana Menteri menjelaskan tidak wajar mempertikaikan keputusan kerajaan yang menarik balik rayuan baru-baru ini kerana tiada perubahan signifikan berlaku, selain menegaskan dasar dipegang kerajaan sebelum ini tidak berubah.
Anwar berkata, sejak sekian lama pentadbiran kerajaan bersilih ganti antara parti, keputusan mahkamah itu tetap diguna pakai sehingga sekarang.
“Tak apalah tak setuju (penarikan rayuan), tetapi itu (penggunaan kalimah Allah) keputusan yang lama dan dipakai oleh kerajaan terdahulu pun, dari Barisan Nasional ke Perikatan Nasional, daripada UMNO ke PAS dan Bersatu, sampailah sekarang, itulah dasarnya.
“Dasarnya iaitu tidak boleh dibenarkan istilah Allah digunakan oleh bukan Islam termasuk dalam kitab mereka,” katanya dipetik laporan Harian Metro.
Anwar juga berkata penggunaan kalimah Allah di Sarawak dan Sabah dibenarkan tetapi dengan beberapa syarat yang ditetapkan, serta membidas pihak yang mendakwanya seorang liberal dan tunduk kepada DAP.
“Jadi perkataan Allah untuk umat Islam di Semenanjung Malaysia, begitu juga di Sabah dan Sarawak dengan beberapa syarat, tiada perubahan dengan yang sebelum ini.
“Itu yang kita gegarkan, jadi nak riuh rendah mengenainya pasal apa? Apa yang tak kena? Ohhh… Anwar memang liberal, tunduk kepada DAP dan sekarang memang betul lah nak merosakkan akidah umat Islam. Apa benda ini?” katanya lagi.
Anwar berkata, keputusan Jemaah Menteri mempersembah cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja, bertujuan memperkemas beberapa perkara dasar yang difikirkan “longgar”.
Katanya, ia terutama mengenai kelompongan kerana adanya perkara yang tidak jelas dari sudut tindakan dan penguatkuasaan.
“Dasar tak berubah kerana di Perak, di Pulau Pinang, di Selangor, di Johor tidak boleh yang bukan Islam menggunakan Allah. Ini keputusan mufti-mufti, keputusan Raja-Raja Melayu. Tak ada perubahan,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan kalimah Allah, baitullah, solat dan Kaabah dibantah pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Notis pemberhentian rayuan itu difailkan pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.