
Anwar atas pentas UMNO bersama anak muridnya, Zahid semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023. Foto kredit Astro Awani
Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis ramalan banyak pihak mengatakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri (PM) semakin tergugat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Cikgu kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu yakin akan kekal lama menjadi PM sehingga lima tahun dan bukan hanya lapan bulan dan menyifatkan kerajaan campuran dipimpinnya ketika ini adalah yang terbaik.
“Saya nak beritahu di sini, saya kawan-kawan beri sokongan menjadi Perdana Menteri lapan bulan, bukan lapan bukan, insya-ALLAH lima tahun (akan datang).
“Tetapi dalam lapan bulan, kita buat yang terbaik. Pertama, tata kelola yang baik, tak boleh kita toleransi lagi. Tamatkan rasuah dalam negara ini, tak boleh,” katanya dipetik laporan Sinar Harian semasa berkempen di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang.
Anwar mendakwa melawan rasuah habis-habisan walaupun melantik Timbalan Perdana Menteri yang sedang berdepan 47 kes rasuah di mahkamah.
Sementara itu, Anwar juga yakin Pakatan Harapan (PH) bersama UMNO di Pulau Pinang yang diketuai Chow Kon Yeow akan mendapat mandat dan sokongan penuh daripada pengundi Melayu pada PRN kali ini.
“Saya juga percaya kebangkitan dan kesedaran orang Melayu untuk bersama-sama perjuangan PH akan bermula di Pulau Pinang. Kesedaran orang Melayu bermula di Pulau Pinang, kebangkitan rakyat dengan kemenangan Pakatan Rakyat waktu itu (2008) juga di Pulau Pinang.
“Jadi pastikan kita kekalkan kekuatan kita, ‘based’ (asas) kita, ‘leadership’ (kepimpinan) kita dari segi kesedaran rakyat untuk membawa perubahan di negara ini,” katanya lagi.
Anwar berkata lagi, beliau sangat optimis tentang masa depan Pulau Pinang dan akan memberi perhatian kepada Pulau Pinang sepanjang menjadi Perdana Menteri.
“PRN kali ini adalah permulaan kepada negara untuk membentuk asas baharu dan pengundi tanpa mengira kaum perlu memberi mesej jelas yang mana mereka menolak politik berasaskan perkauman.
“Saya bukan nak menang (PRN) saja, tapi saya nak menang dengan yakin dan majoriti rakyat tolak perkauman dan setiap undi termasuk dari undi Cina sangat kritikal.
“Saya mengingatkan, pengundi Cina yang mana tanpa sokongan daripada Barisan Nasional, PH tidak mungkin dapat membentuk kerajaan Pusat,” katanya.